suria

Utamakan Ultras Malaya ke Hanoi, jika tidak... “Masa gol baru sorak, kalau kena titik senyap”

Penyokong Harimau Malaya pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Selasa. Foto FAIHAN GHANI

PETALING JAYA: Berita baik buat kelab penyokong pasukan Harimau Malaya iaitu Ultras Malaya kerana keutamaan akan diberikan kepada mereka dari segi tiket penerbangan untuk menyaksikan aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi, Vietnam pada Sabtu ini.

“Saya dah bincang dengan pihak AirAsia dan memang keutamaan diberikan kepada Ultras. Saya dimaklumkan, wakil-wakil mereka yang akan mengendalikan pengagihan tersebut. Kita perlukan mereka!,” menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Twitternya pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada permintaan seorang pengguna Twitter yang meminta Menteri Belia dan Sukan itu mengutamakan kumpulan Ultras Malaya untuk menyaksikan aksi timbal balik bagi final kedua di Vietnam, Sabtu ini.

“Mungkin YB (Yang Berhormat) boleh utamakan geng @ultrasmalaya07 untuk ke sana, mungkin boleh bincang dengan kepala (ketua) Ultras. 

“Paling penting sekarang penyumbang semangat untuk pasukan kita kat sana. Kalau penonton biasa pergi, masa gol baru sorak kuat, kalau kena gol (gol oleh pasukan lawan) senyap,” kata pengguna Twitter @shazlan_90 mengharapkan cadangan tersebut dipertimbangkan meskipun dirinya mengakui dirinya mengakui bukan kalangan Ultras Malaya.

“Kalau tak ada Ultras, masa kita kena titik (gol pasukan lawan) confirm senyap sunyi stadium. @ultrasmalaya07 ni pula jenis memang tak pernah habis tenaga untuk sorak. Sebab tu kita perlukan mereka untuk beri pemain kita dengar kewujudan penyokong Malaysia kat stadium tu,” tambah Mohamad Shazlan menerusi akaun Twitternya.

Terdahulu, Syed Saddiq berkata, terdapat penerbangan yang disewa khas atau catar dari Malaysia bagi membolehkan penyokong tempatan menyaksikan perlawanan itu di Vietnam.

“Saya akan hubungi Kedutaan Malaysia di sana untuk membantu rakyat Malaysia di sana untuk membanjiri stadium mereka," tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif  Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, penyokong Harimau Malaya berpeluang ke Hanoi dengan menaiki penerbangan khas yang disediakan oleh syarikat itu sempena aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu menyediakan empat penerbangan tambahan pada tambang RM449 pergi-balik untuk penyokong Harimau Malaya.

“Terima kasih kepada kakitangan saya kerana bekerja keras untuk mendapatkan slot penerbangan (tambahan) ke Hanoi. Terima kasih juga kasih kepada kru penerbangan kerana terpaksa membatalkan cuti mereka untuk mengendalikan penerbangan tambahan tersebut,” katanya dalam catatan menerusi Twitternya pada Selasa.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) memperuntukkan 3,000 keping tiket untuk dijual kepada penyokong Malaysia bagi perlawanan di Stadium My Dinh, Hanoi.

Pasukan Malaysia membawa dua bekalan gol ke Hanoi bagi pusingan akhir kedua Piala AFF Suzuki apabila mengikat Vietnam 2-2 Stadium Nasional Bukit Jalil,  malam Selasa.

Artikel Berikut

Artikel Lain