suria

Anugerah Olimpian ceriakan Amy Kwan selepas jalani pembedahan buku lali

Amy Kwan terpilih Olimpian Wanita 2018.

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan atlet gimrama Amy Kwan masing-masing dipilih sebagai penerima Anugerah Olimpian 2018.

Azizulhasni atau lebih dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’  terpilih Olimpian Lelaki mengambil kira pencapaian terbaik pada Sukan Asia dengan meraih pingat emas dalam acara pecut serta perak pecut berpasukan dan gangsa bagi keirin lelaki. Ia melengkapkan tiga warna pingat bagi Azizul.

Sementara, Amy yang menjadi tumpuan pada Sukan Komanwel April lalu berjaya mengetepikan atlet wanita lain dengan merangkul anugerah Olimpian Wanita tahun ini.

Menurut Amy, 23, dia memang tidak percaya dengan trofi yang dimenanginya ini memandangkan ramai lagi atlet-atlet lain yang hebat.

Tetapi trofi ini dianggap pengubat sedihnya selepas menjalani pembedahan buku lali minggu lalu.

“Sejak  seminggu lalu saya agak ‘down’ sedikit selepas pembedahan, tetapi hari ini sangat gembira.

“Ini juga dianggap penutup yang baik buat saya yang terpaksa bercuti lebih kurang enam bulan untuk kembali sembuh,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam dan Anugerah Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Rabu malam.

Sementara itu, Azizul yang tidak dapat hadir ke majlis ini kerana sedang berjuang dalam satu kejohanan di London mengakui gembira dengan anugerah ini.

“Saya gembira kerana buat julung kalinya memenangi anugerah ini. Sudah tentu ini akan menjadi motivasi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik tidak lama lagi,” ucapnya menerusi rakaman video ketika majlis berlangsung.

Sementara  itu, pemain muda badminton wanita negara Goh Jin Wei menerima Anugerah Istimewa selepas meraih emas pada Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires 2018.

Setiap pemenang individu menerima ganjaran wang RM10,000 berserta pingat tajaan Coca-Cola manakala skuad hoki remaja membawa pulang ganjaran RM18,000 berserta trofi.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail  hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya Steven Sim.

Lebih meriah, majlis turut dihiburkan dengan penyayi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

MOM, Amy Kwan

Artikel Lain