Teong Kim kekal di AMD hingga Oktober 2019 - Syed Saddiq - Sukan | mStar

Teong Kim kekal di AMD hingga Oktober 2019 - Syed Saddiq

Teong Kim kekal di Akademi Mokhtar Dahari sehingga kontraknya berakhir tahun depan.

PETALING JAYA: Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN)  bakal diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, PPBN yang sebelum ini bergerak berasingan akan diletakkan kembali di MSN berada di bawah struktur Bahagian Atlet dan akan menguruskan pelaksanaan program latihan, kejurulatihan, pertandingan dan pengurusan.

“Saad Ichalalene yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Metodologi, Pendidikan Jurulatih dan Pencarian Bakat dilantik sebagai Pengarah Teknikal PPBN yang berperanan untuk memantau pelaksanaan program latihan pembangunan di peringkat negeri dan pada yang sama menyelaraskan program pembangunan kejurulatihan serta pencarian bakat bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Manakala Lim Teong Kim kekal sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bertanggungjawab sepenuhnya dalam pelaksanaan program latihan dan jurulatih AMD sehingga kontraknya berakhir pada 31 Oktober 2019..

"Sekretariat PPBN yang sedia ada akan di bubarkan dan pegawai atau staf yang berada di situ akan diserap kepada jawatan yang bersesuaian selepas penilaian dibuat oleh MSN.

“Sementara itu Peter De Roo selaku Pengarah Teknikal FAM juga telah dilantik penasihat teknikal di bawah Jawatankuasa Teknikal yang akan memantau secara keseluruhan program PPBN dan AMD,” jelasnya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu PPBN pada Isnin.

Syed Saddiq berkata, Jawatankuasa Teknikal telah mencadangkan kesemua jurulatih tempatan bermula dari AMD, ketua jurulatih remaja negeri dan jurulatih sepenuh masa Program ini akan temuduga.

"Mereka akan dinilai melalui Panel Pemilihan Kejurulatihan NFDP bermula pada 12 dan 13 Disember 2018 ini bagi memperkemaskan aspek kejurulatihan PPBN dan penerapan DNA bagi skuad kebangsaan yang telah diperkenalkan sejak daripada 2014. 

"Mereka akan diberi tempoh percubaan selama tiga bulan untuk membuktikan mereka benar-benar mampu menyumbang kepada perkembangan program ini.

"Panel ini akan dianggotai oleh wakil FAM, MSN dan ISN. Bagi menilai Jurulatih-jurulatih di Sekolah Sukan Negeri, Pusat Latihan Daerah dan Akademi Tunas beberapa sesi temuduga akan diadakan secara berperingkat selepas itu," ujarnya.

Selain itu Syed Saddiq memberitahu bahawa Jawatankusa Pemandu berpendapat sudah tiba masanya Sekolah Sukan Malaysia (SSM) untuk menumpukan kepada Program Pembangunan Bola Sepak Wanita dan Futsal.

"Pada waktu ini, SSM masih mempunyai pasukan bola sepak di beberapa peringkat umur sehinggalah ada satu keputusan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan dibincangkan dalam masa terdekat," katanya.



PPBN

Artikel Lain