suria

Tiket final kedua Piala AFF Suzuki 2018 mula dijual hari ini

Stuart berkata sebanyak 3,000 keping tiket pada harga RM43 sekeping disediakan untuk penyokong Malaysia.

KUALA LUMPUR: Penyokong skuad Harimau Malaya boleh membeli tiket final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di antara Malaysia dan Vietnam di Hanoi pada Sabtu ini,  bermula Isnin sehingga Rabu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Michael Ramalingam dalam satu kenyataan berkata sebanyak 3,000 keping tiket pada harga RM43 sekeping disediakan untuk penyokong Malaysia menyaksikan perlawanan yang akan berlangsung di Stadium My Dinh itu.

Sepak mula perlawanan adalah pada  7.30 malam (waktu Vietnam).

Stuart berkata peminat tempatan yang mahu  membeli tiket perlawanaan itu perlu memilih jumlah tiket yang ingin dibeli dan membuat pembayaran penuh ke akaun Bank Islam - FOOTBALL ASSOCIATION OF MALAYSIA dengan nombor akaun 12131010006121 serta menyimpan slip pembayaran.

Peminat yang sudah membeli tiket berkenaan perlu menghantar e-mel butiran peribadi iaitu Nama Penuh, Nombor MyKad, Nombor Telefon, Jumlah Tiket dan melampirkan bersama slip pembayaran ke e-mel [email protected].

Beliau memaklumkan FAM akan membalas e-mel berkenaan bagi mengesahkan penerimaan wang pembelian tiket tersebut.

Stuart berkata peminat boleh menebus tiket berkenaan di Hanoi pada Jumaat dan Sabtu (14-15 Dis) dan mereka akan dihubungi  oleh wakil FAM di sana bagi urusan penebusan tiket.“Penebusan tiket itu hanyalah untuk penyokong Malaysia yang membeli tiket menerusi FAM.  

“Sebarang pembelian tiket melalui FAM bagi perlawanan ini selepas 11.59 malam pada Rabu, 12 Dis  tidak akan diproses,” tegas Stuart.

Beliau berkata FAM berharap inisiatif yang dilakukan sejak aksi sulung di tempat lawan bertemu Kemboja di Phnom Penh dan diteruskan sehingga ke final kedua itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penyokong Harimau Malaya yang akan terbang ke Hanoi nanti.

Malaysia akan melayan kunjungan Vietnam pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada  8.45 malam Selasa. - Bernama

Piala AFF Suzuki 2018, tiket

Artikel Lain