suria

Atlet Kedah yang menang pingat dalam Sukan Komanwel, Asia, Sukma dapat insentif RM213,500

Muhamad Aznil Bidin memenangi pingat emas pada Komanwel Gold Coast di Australia 2018.

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah pada Isnin menyampaikan insentif berjumlah RM213,500 kepada atlet yang memenangi pingat dalam Sukan Komanwel Gold Coast di Australia 2018, Sukan Asia Jakarta-Palembang di Indonesia 2018 dan Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Pembangunan Usahawan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Mohd Asmirul Anuar Aris (gambar) berkata seramai 125 atlet daripada tiga temasya sukan itu menerima ganjaran berkenaan.

"Bagi Sukan Komanwel dan Sukan Asia atlet yang memperoleh pingat emas menerima ganjaran RM10,000 seorang, pingat perak sebanyak RM3,000 seorang manakala bagi pingat gangsa ganjaran  RM2,000 seorang diberikan.

"Sementara itu, bagi atlet Sukma yang memenangi emas menerima RM3,500 seorang, pingat perak sebanyak RM2,000 seorang dan bagi atlet yang memenangi pingat gangsa menerima RM1,000 seorang," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian ganjaran itu di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.

Majlis penyampaian itu disempurnakan Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Mohd Asmirul berkata ganjaran yang diberikan itu sebagai menghargai pengorbanan dan kesusahan dilalui para atlet demi memartabatkan nama negeri Kedah di persada sukan tanah air.

"Kerajaan negeri sangat menghargai segala pengorbanan para atlet, pengurus pasukan, jurulatih dan ahli keluarga atlet yang telah banyak berkorban dan bertungkus lumus dalam membantu melakar kejayaan sukan di negeri ini," katanya.

Atlet angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin merupakan penerima tunggal bagi Sukan Komanwel yang menerima insentif sebanyak RM10,000 itu selepas berjaya memungut pingat emas acara 62 kilogram manakala bagi Sukan Asia seramai enam penerima ganjaran itu termasuk pemain skuasy remaja negara Aifa Azman dan S. Sivasangari.

Bagi atlet Sukma seramai 118 penerima mendapat ganjaran itu selepas berjaya mengumpul 19 pingat emas, 20 (perak) dan 29 (gangsa) sekali gus berada di kedudukan ke-10 daripada 15 negeri lain yang bertanding. - Bernama

Artikel Lain