suria

Final Piala AFF: KBS tayang siaran langsung pada skrin gergasi di Axiata Arena

KBS mengajak rakyat Malaysia yang gagal mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki di Axiata Arena.

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merancang membuka Axiata Arena untuk menayangkan siaran langsung perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 selepas ribuan penyokong skuad negara gagal mendapatkan tiket.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengajak rakyat Malaysia untuk beramai-ramai ke lokasi tersebut bagi memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang akan menentang Vietnam, Selasa ini.

"Sementara kita menyiasat dan mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pihak KBS dan PSM akan membuka Axiata Arena di sebelah Stadium Nasional Bukit Jalil untuk 'live screening' buat rakyat Malaysia," ujarnya melalui hantaran yang dimuat naik di Instagram pada Isnin.

Beliau berkata demikian susulan isu penyokong skuad Harimau Malaya yang gagal membeli tiket perlawanan tersebut selepas beratur lama.

Syed Saddiq meluahkan rasa simpati di atas insiden berkenaan dan berpandangan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Pihak KBS sedia membantu FAM untuk memastikan insiden seperti ini tidak berulang," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut meluahkan rasa kecewa dengan situasi penjualan tiket Piala AFF Suzuki.

"Saya kecewa dengan apa yang berlaku berkenaan penjualan tiket final Piala AFF Suzuki.

"Saya harap penyokong boleh beri idea mengenai solusi untuk isu penjualan tiket dan berharap pihak FAM juga akan mencari jalan penyelesaian. Perkara ini tidak boleh berterusan," jelas Tunku Ismail dalam satu status di Twitternya pada Isnin.

Artikel Lain