suria

80,000 tiket Malaysia-Thailand habis dijual

PETALING JAYA: Kesemua 80,000 tiket bagi aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini habis dijual.

Menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), baki 40,000 tiket yang dijual di kaunter tiket Stadium Nasional, Bukti Jalil dan cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports dan Football Republic sejak 10 pagi Khamis turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penyokong Harimau Malaya.

"Ini bermakna, kesemua 80,000 keping tiket yang diperuntukkan termasuk 40,000 keping tiket yang dijual secara online pada Isnin dan Selasa lalu kini telah pun habis terjual.

"Terima kasih Malaysia! Jumpa anda semua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini," demikian menurut kenyataan FAM.

Harimau Malaya mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas membenam Myanmar 3-0 pada Sabtu lalu.

Untuk aksi separuh akhir kedua, Malaysia akan berkunjung ke Stadium Rajamangala pada 5 Disember depan.

Pertemuan itu sudah pasti menarik buat kedua-dua pasukan dan ia bakal menjadi perlawanan ulangan final Piala AFF 2014 apabila Malaysia tewas dengan agregat 3-4.

Thailand mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan B selepas membenam Singapura 3-0 dalam aksi terakhir kumpulan itu di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Ahad lalu.

tiket, Piala AFF Suzuki

Artikel Sebelum

Artikel Lain