suria

Piala AFC B16 KPI buat PPBN, Teong Kim

PETALING JAYA: Kejohanan Piala AFC Bawah 16 tahun yang bakal membuka tirai 20 September ini dianggap sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) selepas lima tahun ditubuhkan secara rasmi.

Malah kejohanan ini juga ditunggu-tunggu peminat bola sepak tempatan untuk melihat hasil sentuhan bekas jurulatih remaja Bayern Munich, Lim Teong Kim.

Sejak PPBN dibentuk secara serius, pelbagai pencapaian dicatat skuad remaja negara sama ada ketika saingan di dalam atau luar negara.

Skuad muda ini juga pernah mencipta nama dalam arena bola sepak remaja Eropah apabila bergelar juara Piala Iber Costa del Sol (2015), mengutip ilmu di Thailand, menyertai Kejohanan Antarabangsa di Wuhan, juara pada kejohanan Bawah 15 Tahun di Jerman (2018) dan banyak lagi perlawanan atau siri persahabatan yang telah direncanakan untuk mereka.

Skuad utama Teong Kim yang bakal berentap di ibu negara minggu depan merupakan pemain terbaik remaja yang ada di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.

Mereka  ini menjadi harapan besar kepada seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan kejayaan di peringkat Asia selepas aksi hambar skuad senior di pentas Asia.

Menurut Pengarang Twentytwo13 dan juga penganalisis bola sepak tempatan Haresh Deol, dia optimis dengan pasukan B16 Tahun ini yang dianggap sebagai pemangkin masa depan bola negara.

"Saya memang menaruh harapan tinggi dan ingin melihat skuad Teong Kim ini konsisten dan menjadi yang terbaik bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat Asia.

"Kita selalu kecewa apabila bercakap mengenai harapan. Namun untuk pasukan ini saya yakin dan berharap ia akan menjadi kenyataan selepas banyak sokongan seperti dana, fasiliti serta pelbagai kemudahan disediakan kepada pasukan PPBN. 

"Dan lebih menarik, Jepan serta Thailand berada dalam kumpulan yang sama dengan Malaysia. Perlawanan menentang kedua-dua pasukan ini merupakan ujian yang baik untuk menilai kemampuan sebenar pasukan bawah 16 negara," ujarnya kepada mStar Online.

Teong Kim yang telah bersama pemain sejak AMD ditubuhkan sudah tentu mahu membuktikan program yang diserapkan kepada semua pemain sudah sebati dan bersedia digunakan bila-bila masa pada kejohanan ini.

Sebelum ini, Teong Kim yang terkenal dengan sikap tegas dalam memberi pendapat perihal bola sepak tempatan sentiasa menekankan bahawa kejayaan seseorang pemain bukan sahja bergantung kepada kemahiran, tetapi perlu ada etika kerja yang baik.


Dan pastinya sepanjang tempoh persiapan yang panjang ini, semua ilmu Teong Kim yang dikutip ketika di Jerman sudah ditanam dalam diri setiap pemain.

Apa yang penting, kejohanan AFC ini bukan sekadar untuk melihat sejauh mana skuad negara mampu melangkah tetapi ia adalah jawapan kepada sasaran untuk layak ke Piala Dunia Remaja Bawah 17 tahun pada 2019.

Ini kerana, empat pasukan teratas kejohanan ini secara automatik akan ke Peru menyertai kejohanan Piala Dunia itu.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan memulakan kempen berdepan Tajikistan pada 20 September diikuti aksi menentang Thailand (23 September) dan  Jepun (26 September) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas Kumpulan A, pasukan negara akan bertemu juara atau naib juara Kumpulan B yang terdiri daripada pasukan Korea Utara, Oman, Yaman dan Jordan pada aksi suku akhir yang dijadualkan 30 September.

Sekiranya pasukan negara muncul juara Kumpulan A, perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional, manakala jika naib juara akan beraksi di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Perlawanan separuh akhir pada 4 Oktober akan berlangsung di Stadium Nasional dan Stadium Petaling Jaya, manakala final pula pada 7 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebagai rekod, Pelan PPBN bagi Fasa Pertama bermula 2014-2020 telah meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Dunia Remaja Bawah 17 tahun depan.

PPBN Fasa Pertama ini mengandungi sasaran yang jelas dan terperinci dan di akhir fasa ini nanti, landskap program pembangunan bola sepak dijangka bakal berubah dengan penambaikan.

PPBN, Lim Teong Kim

Artikel Lain