suria

Ansara buka pendaftaran pangkalan data e-sports untuk cungkil bakat baharu

MELAKA: Kelab Sukan Elektronik Ansara membuka pendaftaran pangkalan data atlet E-Sport Kebangsaan dalam permainan video bagi mengumpul data pemain serta mencungkil bakat baharu pelapis untuk mewakili negara pada peringkat antarabangsa.

Presidennya Prof Muhammad Sadruddin berkata pendaftaran boleh dibuat menerusi lawan sesawang kelab itu selaras dengan Dasar Sukan Negara dalam usaha memartabatkan sukan elektronik.

"Pangkalan data ini akan menjadi platform untuk kita mengumpulkan maklumat pemain, latar belakang, kelebihan atau kekuatan serta pencapaian mereka.

"Kita mempunyai pasukan yang akan menganalisa maklumat itu bagi mengetengah atau mencungkil bakat baharu dalam bidang berkenaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perasmian pembukaan Ekspo Ansara E-Sports Game 2018 dan Ansara E-Sports Malaysia Championship 2018 peringkat negeri di sini pada Sabtu.

Ekspo dua hari bermula Sabtu itu dirasmikan Pengerusi Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Kerk Chee Yee.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 10,000 pemain akan berdaftar menerusi pangkalan data itu menjelang November depan selaras dengan kejohanan akhir Ansara E-Sports Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Nov nanti.

Sementara itu, beliau berkata sukan eletronik khususnya permainan video pada hari ini telah berkembang pesat selaras dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih dan evolusi tersebut menarik minat generasi muda untuk menceburinya.

"E-Sports adalah sukan di mana pemain mempunyai peranan masing-masing dalam satu pasukan dan ia boleh dimainkan secara kompetitif atau sebagai aktiviti rekreasi," katanya. - Bernama

Ansara, e-sports

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain