suria

Video penerjun negara didakwa minum alkohol tular

PETALING JAYA: Skuad terjun negara sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila sebuah video yang mempamerkan atlet sukan berkenaan mengambil minuman keras tular di Facebook.

Insiden itu dipercayai berlaku semasa kem latihan mereka di Guangzhou, China.

Video itu menunjukkan gelagat beberapa penerjun senior dalam program podium dan juga junior semasa malam sambutan Tahun baru Cina, Februari lalu.

Pemangku ketua jurulatih terjun negara, Zhang Yukun berkata beliau tidak tahu mengenai insiden itu.

Namun beliau menyerahkan isu itu kepada Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk diambil tindakan.

"Saya amat terkejut perkara seperti ini berlaku. Saya serahkan kepada ASUM dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengambil tindakan sewajarnya," kata jurulatih dari China itu.

Terdahulu, bekas jurulatih skuad terjun negara, Huang Qiang merogol seorang penerjun negara berumur 20 tahun di Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil pada pukul 5.30 petang, 26 September tahun lalu.

Dakwaan terhadap Huang dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Namun Huang dilepas dan dibebaskan pada 10 April lalu selepas Mahkamah Sesyen mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan selepas prosiding perbicaraan yang bermula sejak 19 Januari lalu.

Huang, 36, sebelum ini dilantik menjadi penolong jurulatih bekas ketua jurulatih, Yang Zhuliang pada tahun 2007 dan pernah menghadiahkan pingat acara 3m papan anjal seirama pada Grand Prix Montreal 2012 serta gangsa di Piala Dunia London 2012 selepas mendapat kerakyatan pada tahun itu.

Dakwaan yang dikenakan terhadap Huang itu dikatakan antara punca khidmat Zhuliang tidak disambung biarpun sebelum ini beliau berjaya mencipta pelbagai kejayaan bersama skuad terjun negara.

skuad terjun, alkohol

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain