suria

Perak kekal tangga kedua

Pemain Kelantan Cristiano Marcolino Santos (tengah) diasak pemain PKNS FC pada Perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam Selasa. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perak mengekalkan kedudukan kedua saingan Liga Super walaupun seri 1-1 berdepan Selangor di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam Selasa.

Keputusan seri tersebut membolehkan skuad ‘The Bos Gaurus' mengutip 28 mata selepas beraksi 16 perlawanan setakat ini.

Pada aksi di Cheras, Perak terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-42 menerusi gol sendiri pemain Selangor, Alfonso De La Cruz Calero yang menolak masuk bola ke gawang sendiri.

Kapten skuad Gergasi Merah, Mohd Amri Yahyah menyelamatkan maruah pasukan Selangor apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-81 menerusi sepakan percuma yang berjaya mengelirukan penjaga gol Perak, Khairul Amri Salehuddin.

Pahang pula merapatkan jurang mata dengan Perak setelah menang bergaya 3-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Skuad Tok Gajah terlebih dahulu selesa mendahului 3-0 hasil jaringan pemain import dari Kanada, Issey-Nakajima Farran pada minit ketujuh dan minit ke-64 sebelum bekas pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menambah derita pasukan Negeri Sembilan dengan gol ketiga, selang tujuh minit kemudian.

Mohd Fauzan Dzulkifli menjaringkan gol sagu hati untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-82.

Dalam pada itu, kelab PKNS FC kembali meraih kemenangan setelah menewaskan pasukan tercorot, Kelantan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Dua gol skuad Semut Merah dijaringkan oleh pemain import dari Brazil, Bruno Oliveira de Matos seawal minit keempat dan minit ke-86.

Melaka turut meraih tiga mata setelah menang tipis 2-1 ke atas wakil kelab Perak, PKNP FC 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu berada di hadapan menerusi penyerang berbisa mereka, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-56 sebelum Melaka bangkit meraih dua gol hasil sentuhan penyudah dua pemain import, Lee Chang Hoon dan Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi, masing-masing pada minit ke-65 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan. - BERNAMA

Liga Super, Perak

Artikel Berikut

Artikel Lain