suria

Kedah tidak boleh leka bertemu Kuala Lumpur

ALOR SETAR: Kedah tidak boleh melakukan kesilapan dan perlu menang pada perlawanan bertemu Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman di sini malam Rabu jika mahu terus berada di kelompok teratas liga.

Sehubungan itu, Ketua Jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata setiap pemain pasukan itu tidak boleh leka sekiranya mendapat gol awal yang akhirnya dihukum pasukan lawan yang sentiasa mencuri peluang untuk menjaringkan gol.

“Perlawanan malam esok, Kedah mesti lebih berhati-hati, tumpuan penuh harus diberi agar dapat meraih tiga mata penuh untuk kekal di kelompok atas liga,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Katanya Kedah kini berada di tempat keempat dengan berkongsi 24 mata dengan Pahang di tempat ketiga manakala Perak di kedudukan kedua liga (27 mata) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) (38 mata) yang berada di puncak liga.

Mohd Nidzam Adzha berkata perhatian turut diberikan pada bahagian pertahanan supaya dapat diperkemaskan dan tidak mudah dibolosi pihak lawan seperti yang berlaku dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.

"Yang pasti kita akan memperkemaskan pada bahagian pertahanan dan pada masa sama menajamkan bahagian serangan agar setiap peluang yang terhidang dapat disudahi dengan jaringan yang akan meningkatkan moral dan semangat pasukan,” katanya.

Selain itu, katanya kemenangan malam esok adalah penting untuk membolehkan Kedah terus dapat bersaing dengan tiga pasukan teratas liga iaitu JDT, Perak dan Pahang.

Dalam pada itu, beliau berkata Kedah akan menurunkan semua barisan kesebelasan utama termasuk pemain import dalam misi meraih tiga mata sekali gus meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Kelantan di sini pada 8 Jun lepas.

Mohd Nidzam Adzha berkata anak buahnya juga dilihat lebih bersedia meneruskan saingan liga selepas tamat cuti hari raya dan telah memulakan latihan di Stadium Sultan Abdul Halim  di Jalan Suka Menanti, di sini, Alor Setar sejak Isnin dan pada petang ini.

Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain