suria

Dua tonggak utama Kedah cedera

KETUA jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof terpaksa melupakan khidmat dua pemain mudanya menjelang perlawanan menentang Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini.

Dua pemain yang mengalami kecederaan dalam perlawanan 8 Jun lalu ialah Halim Shaari dan Mohd Ariff Farhan Mat Isa.

Bagaimanapun ia tidak menjadi halangan buat Mohd Nidzam untuk menamakan kesebelasan terbaik bagi melayan kunjungan Kuala Lumpur yang sedang mempamerkan peningkatan.

"Ketiadaan mereka tidak bererti kita lemah kerana Kedah masih mempunyai ramai pemain simpanan yang berwibawa dan bersedia menggalas tanggungjawab yang akan diberikan.

"Saya yakin pemain yang akan digantikan nanti dapat memberikan aksi terbaik dengan bantuan pemain import dan tonggak tempatan yang lain.

"Kita juga telah melakukan persediaan sebaik mungkin untuk berdepan Kuala Lumpur kerana mereka sedang menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan sebelum ini termasuk mengecewakan Melaka United di gelanggang sendiri.

"Kehebatan lawan kita itu telah membuka mata barisan pemain untuk bangkit membuktikan kewibawaan sebenar Kedah walaupun ketika ini ramai yang sangsi dengan kemampuan setelah ditewaskan oleh Melaka dan Kelantan di Stadium Darul Aman,” katanya kepada mStar Online.

Beliau menambah, pemain turut diingatkan supaya memberi perhatian sepanjang permainan dan tidak memberi ruang kepada lawan untuk mencipta jaringan.

Menurutnya, kesebelasan yang diturunkan nanti juga telah diingatkan supaya tidak melakukan kesilapan mudah yang mampu memerangkap Kedah.

Mengulas lanjut, Mohd Nidzam memberitahu, skuad hijau kuning akan menurunkan Ramadhan Hamid untuk kali kedua pada perlawanan tersebut selepas penjaga gol baharu itu beraksi cemerlang dalam perlawanan sebelum ini.

"Kita mungkin akan memberi peluang kedua kepada Ramadhan selepas aksi cemerlangnya pada perlawanan lalu, dia telah menunjukkan kemampuan untuk disenaraikan sebagai penjaga gol utama," katanya.

Liga Super, Nidzam Adzha

Artikel Berikut

Artikel Lain