suria

Pingat gangsa pemangkin cipta kejayaan

Muhamad Afiq menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia. -fotoBERNAMA

SEPANG: Selepas berjaya meraih pingat gangsa dalam acara 100m T12 lelaki (cacat penglihatan) pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah mahu terus mengekal momentum untuk mencipta kejayaan di Sukan Para Asia di Jakarta pada September ini.

"Saya secara peribadi mahu menang podium di Sukan Para Asia nanti. Pingat yang saya menang ini menjadi pembakar semangat untuk buat yang lebih baik dalam Sukan Para Asia di Jakarta," katanya.

Menurut atlet berusia 23 tahun itu, penyertaan di Sukan Komanwel adalah kejohanan tertinggi yang pertama kali disertainya selepas dua kali mewakili negara pada temasya Sukan Para ASEAN.

"Di Gold Coast, saya berjaya bersaing dengan atlet-atlet berpengalaman dalam kategori T12. Saya rasa boleh memperbaiki prestasi saya berdasarkan pengalaman yang ditimba di Sukan Komanwel untuk dibawa ke Sukan Asia," kata pemenang dua pingat emas (100m dan 200m T12) Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur (KL2017) itu.

Kejayaan meraih pingat gangsa itu sekali gus mengakhiri kemarau pingat selama 16 tahun sukan olahraga para dalam temasya Sukan Komanwel selepas kali terakhir di Manchester pada 2002 menerusi Hisham Khaironi yang meraih pingat perak dalam acara yang sama.

Mengimbau kembali aksi di Gold Coast, Muhamad Afiq berkata jurulatihnya hanya menyasarkan beliau mara ke peringkat akhir dan kejayaan membawa pulang pingat gangsa adalah suatu bonus kepada dirinya.

"Saya secara peribadi mahu memperbaiki catatan peribadi dan berjaya masuk ke final. Saya berkata pada diri saya, kalau dapat ulang catatan peribadi terbaik saya 11.30s pun sudah cukup baik.

"Tidak sangka pula dapat buat catatan masa yang lebih baik dan dapat menang pingat. Saya amat berpuas hati dengan prestasi saya dan bangga kerana berjaya menyumbang pingat untuk kontinjen negara," katanya.

Pada aksi di Stadium Carrara itu, Muhamad Afiq mencatatkan masa 11.28 saat, hanya 0.01 saat di belakang pemenang pingat perak, Hilton Lanegnhoven dari Afrika Selatan manakala pingat emas dimenangi Ndodomzi Ntutu, juga dari Afrika Selatan dengan catatan 11.02s.

Kenangan terindah yang sukar dilupakan Muhamad Afiq dalam penampilan pertamanya itu ialah kejayaan mencipta rekod baharu kebangsaan milik Faizal Aidil Suhaimi iaitu 11.27s dengan catatan masa 11.20s semasa saringan acara berkenaan.

Sementara itu jurulatihnya, Adnan Mat Ail juga turut berbangga dengan pencapaian Muhamad Afiq.

"Setelah pulih daripada kecederaan kaki selepas Sukan Para ASEAN KL pada Disember lepas, saya hanya sasar dia mampu mara ke final. Tumpuan latihan diberikan selama lebih sebulan selepas itu untuk dia mempersiapkan diri untuk Sukan Komanwel," katanya.

Mengenai persiapan ke arah Sukan Para Asia Jakarta, Adnan berkata beliau melihat Muhamad Afiq perlu diberi lebih banyak pendedahan latihan dan pertandingan di luar negara.

"Ini semua bergantung kepada keputusan pihak MSN (Majlis Sukan Negara) untuk memberi kelulusan. Selain itu beliau akan menyertai beberapa sirkit kejohanan dalam negara sebelum beraksi di Sukan Para Asia," katanya. - BERNAMA

Sukan Komanwel

Artikel Sebelum

V Shem-Wee Kiong kandas

Artikel Berikut

Artikel Lain