suria

Saya perlu cari ‘seeding’ terbaik

Mohd Nafiizwan menunjukkan pingat gangsa yang diraih pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, selamat tiba di klia2 awal pagi Sabtu. -fotoBERNAMA

SEPANG: Belum pun reda kepenatan menghadapi saingan acara skuasy pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, pemain skuasy lelaki utama negara Mohd Nafiizwan Adnan bakal berdepan saingan Kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna di Mesir bermula 20 hingga 27 April ini.

Selain kejohanan itu, beliau dan juga pemain skuasy negara yang lain, akan menyertai kejohanan Terbuka Britain pada 15 hingga 20 Mei dan Terbuka Guatemala pada 2 hingga 7 Julai.

"Melalui kejohanan-kejohanan ini, saya akan cuba kutip mata untuk menentukan kedudukan 'seeding' dalam Sukan Asia nanti. Kalau mendapat seeding yang baik, saya mempunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan pingat buat Malaysia," katanya.

Mohd Nafiizwan pulang awal daripada rakan-rakan sepasukan yang lain sebaik sahaja menamatkan saingan beregu lelaki bersama-sama Ivan Yuen di pusingan 1/16 pada Rabu lepas untuk berangkat ke Mesir, Ahad.

"Kebanyakan pemain yang beraksi di Sukan Komanwel akan turut bertanding dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna. Saya pasti mereka akan keletihan. Sebab itu saya pulang awal untuk  melakukan persediaan," kata pemain yang akan menjangkau usia 32 tahun pada 24 April ini.

Kejayaan untuk meraih pingat pada penampilan terakhir di temasya  Sukan Komanwel adalah suatu impian yang kini sudah menjadi kenyataan buat Mohd Nafiizwan, yang kini menghuni kedudukan ke-35 ranking dunia.

"Sukan Komanwel Gold Coast adalah yang ketiga bagi saya dan ia adalah yang terakhir bagi saya. Saya amat bersyukur kerana akhirnya berjaya menghadiahkan pingat buat negara dan pingat yang pertama dalam kategori lelaki sejak 1998," katanya.

Menurut pemain yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu itu, jadual latihan dan persiapan ke arah Sukan Asia pada Ogos nanti adalah mengikut jadual.

"Apa pun saya perlu berusaha lebih kuat lagi untuk menghasilkan pingat… Berbanding dengan Sukan Asia, persaingan di Sukan Komanwel adalah lebih sukar," katanya.

Mohd Nafiizwan mencipta sejarah tersendiri dengan memenangi pingat gangsa di Sukan Komanwel, yang mana sejak acara skuasy dipertandingkan buat pertama kali pada edisi di Kuala Lumpur pada 1998, tiada pemain lelaki Malaysia yang berjaya meraih sebarang pingat.

Untuk rekod, bekas pemain nombor 10 dunia, Mohd Azlan Iskandar menduduki tempat keempat selepas tewas dalam penentuan pingat gangsa di Sukan Komanwel New Delhi pada 2010. - BERNAMA

skuasy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain