suria

Ken Ilso Larsen Dedah Tahap Kecederaan

PENYERANG harapan Kedah, Ken Ilso Larsen tampil mendedahkan situasi semasa kecederaan bahu kanan yang dialaminya sebelum Liga Malaysia berhenti berehat bulan lalu.

Menurut pemain kelahiran Denmark itu, kecederaan bahu yang memaksa dia meninggalkan perlawanan sebelum Liga Super berehat kini  telah pulih.

Jelasnya, walaupun kecederaan ketika perlawanan di Stadium Darul Aman itu kelihatan serius, namun tempoh rehat tersebut telah memberi ruang untuk menjalani proses pemulihan.

"Ketika perlawanan itu saya dapat menjaringkan hatrik pertama bersama Kedah, tapi selepas itu saya diusung keluar padang kerana kecederaan yang agak serius.

"Hatrik itu sebenarnya telah meningkatkan moral saya untuk berjuang bersama Kedah khususnya apabila kembali menentang Perak pada 1 Julai nanti.

"Saya juga yakin, rakan-rakan sepasukan telah bersedia untuk meneruskan rentak atau momentum kemenangan sebelum ini," katanya kepada mStar Online.

Menurut pemain berusia 30 tahun itu, dia kini sedang berusaha untuk cergas sepenuhnya sebelum kembali ke barisan paling hadapan skuad hijau kuning.

Ken Ilso memainkan peranan penting di bahagian serangan skuad bimbingan Mohd Nidzam Adzha Yusof sehingga disenaraikan sebagai penyerang yang perlu diberi perhatian penuh oleh pasukan lawan.

Dia yang menyertai Kedah pada awal musim ini pernah mewakili Denmark bagi skuad Bawah 19, 20 dan 21 tahun.

Sebelum berhijrah ke Alor Setar, Ken Ilso sempat berbakti di Singapura bersama skuad Home United dan menjaringkan 35 gol daripada 51 penampilan.


Liga Super, Kedah, Ken Ilso Larsen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain