suria

Kafa Lunas Tunggakan Gaji

Tan Sri Annuar Musa

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah melunaskan tunggakan gaji berjumlah RM1.5 juta kepada pemain pasukan Kelantan pada Selasa, kata Penasihat Kafa Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pembayaran tunggakan gaji melibatkan semua pemain senior, belia dan Piala Presiden.

"Pembayaran tunggakan gaji tersebut adalah tunggakan gaji bagi Mei, Jun dan pendahuluan bagi bulan Julai," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa kawasan Parlimen Ketereh di kediamannya di Bukit Marak di sini.

Annuar berkata pembayaran tunggakan gaji itu diharap dapat meringankan bebanan kewangan yang dihadapi pemain terutama bagi membuat persiapan Aidilfitri.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) berhubung hasrat persatuan itu mendaftarkan pemain import Seydi L. Imam dari Perancis bagi saingan liga musim ini.

"Kami akan berunding dan terus mengemukakan rayuan kerana kita sudah menandatangani perjanjian bersama pemain tersebut bulan lalu. Penolakan permohonan pendaftaran pemain itu sudah tentu memberikan kesan kepada kami," katanya.

Pada Isnin, FMLLP menolak permohonan Kafa menggunakan khidmat pemain import terbabit bagi beraksi dalam Liga Malaysia musim ini.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati Kafa masih gagal memenuhi kriteria yang diperlukan dalam proses pendaftaran Liga Malaysia 2017. -Bernama

Kafa, tunggakan gaji, Annuar Musa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain