suria

31 Pemenang Pingat Paralimpik Asean Terbang Percuma Bersama AirAsia

SEPANG: Syarikat penerbangan tambang rendah terunggul dunia, AirAsia menyampaikan ganjaran berbentuk penerbangan percuma untuk tempoh antara tiga tahun hingga seumur hidup kepada 31 pemenang pingat sukan Paralimpik dari rantau Asean.

Menerusi temasya berprestij itu, 12 atlet paralimpik Asean menerima pingat emas, tujuh (perak) dan 12 (gangsa).

Insentif yang disampaikan AirAsia sekali gus memberi kelebihan kepada tujuh pemenang pingat emas termasuk tiga dari Malaysia menerima penerbangan percuma sepanjang hayat, manakala pemenang pingat perak dan gangsa masing-masing menerima penerbangan percuma untuk tempoh lima dan tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, beliau berbangga dengan pencapaian kesemua atlet paralimpik Asean yang memenangi pingat di temasya sukan itu, baru-baru ini.

"Mereka menunjukkan dedikasi, kesungguhan dan minat masing-masing. Tahniah buat mereka.

"Ia (penerbangan percuma) merupakan sumbangan kecil buat atlet Asean yang telah membuktikan mereka terbaik.

"Pencapaian anda semua menunjukkan kepada dunia bahawa kita (Asean) boleh menjadi yang terbaik. Kesemua 31 pingat merupakan sesuatu yang berbeza," katanya pada majlis gala di Pusat Kecemerlangan Penerbangan Asia (AACE) di sini, Selasa.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Berhad, Aireen Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo.

Selain penerbangan percuma, pemenang pingat tersebut juga diberikan kad AirAsia BIG edisi khas yang berwarna emas, perak dan gangsa yang membolehkan mereka terbang ke lebih 120 destinasi dalam rangkaian AirAsia dan AirAsia X.

Emas paralimpik negara diperoleh menerusi Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100 meter T36 (celebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli untuk acara lontar peluru (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly pada acara lompat jauh (masalah intelektual).

Selain itu, Siti Noor Radiah Ismail memenangi pingat gangsa dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).

Sementara itu, Muhammad Ziyad berkata, beliau bersyukur di atas ganjaran berupa penerbangan percuma AirAsia yang dilihat sebagai tanda penghargaan kepada atlet.

"Dengan penghargaan sebegini akan memberi semangat kepada atlet lain berusaha untuk menang," katanya.

Ditanya mengenai destinasi yang ingin dituju, Muhammad Ziyad bagaimanapun masih belum mempunyai perancangan buat masa ini.

"Saya belum fikirkan lagi. InsyaAllah selepas sesi latihan saya, barulah saya akan fikirkan untuk ke mana," katanya.

Bagi Josephine R. Medina, atlet paralimpik dari Filipina pula berkata, kebanyakan kejohanan diadakan di negara-negara Asean dan Asia.

"Dengan penebangan percuma itu, ia memudahkan mereka untuk menyertai kejohanan.

"Kepada semua atlet, teruskan usaha menjadi yang terbaik. Pastinya ada ganjaran di sebalik pencapaian itu," kata Medina yang memenangi pingat gangsa bagi acara tenis meja.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dembele Dalam Radar City

Artikel Lain