suria

PPBN Akan Serah Surat Tunjuk Sebab Kepada FAM

PETALING JAYA: Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) akan menyerahkan surat tunjuk sebab mengenai tindakan pasukan Bawah 14 Tahun (B-14) yang tidak meneruskan permainan pada babak kedua dalam perlawanan persahabatan menentang Pohang FC di Korea Selatan baru-baru ini.

Pengarah Kanannya, Safirul Abu Bakar berkata, PPBN akan bertindak seperti yang dikehendaki selepas selepas Pohang FC membuat aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai insiden berkenaan.

"Kita baharu sahaja melihat surat dari Pohang FC semalam (Ahad).

"Kami dengar penjelasan daripada Lim Teong Kim sendiri dan pegawai-pegawai yang berada di sana. Saya memang mahu penjelasan daripada mereka dan akan masukkan dalam laporan.

"Dan selepas itu kita akan serahkan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN)(Datuk Ahmad Shapawi Ismail) sebelum menyerahkan secara rasmi kepada FAM," katanya selepas Majlis Menandatangi Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dengan PPBN.

Minggu lalu, Pohang FC Steelers menghantar surat aduan kepada FAM mengenai tindakan Pengarah PPBN, Lim Teong Kim yang tidak membenarkan pemain-pemainnya meneruskan aksi separuh masa kedua perlawanan persahabatan itu.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Safirul berkata, Teong Kim bertindak demikian selepas berlaku salah faham mengenai pihak lawan yang menurunkan pemain berusia lebih usia.

"Puncanya sejak perlawanan pertama lagi (menggunakan pemain-pemain lebih usia ) dan mungkin pemain-pemain sudah tidak tahan lagi dan 'outburst' pada aksi itu.

"Mungkin juga cara atau bahasa Teong Kim tidak boleh diterima di sana," tambahnya.

Difahamkan, bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan Pohang FC menurunkan pemain lebih umur dalam perlawanan berkenaan yang sepatutnya melibatkan pemain berusia 14 tahun ke bawah sahaja.

Namun, kelab Korea Selatan itu memberikan penjelasan yang mereka sudah memaklumkan kepada Teong Kim lebih awal akan menurunkan tiga pemain berusia 15 tahun berserta bukti kad pengenalan pemain.

Skuad B-14 PPBN berada di Korea Selatan bulan lalu bagi menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di sana.

PPBN, FAM, KFA, Pohang FC

Artikel Lain