suria

Dembele Dalam Radar City

Karamoko Dembele.

KARAMOKO Dembele yang menjadi popular di Internet selepas mewakili skuad Bawah 20 tahun (B-20) Celtic pada usia 13 tahun baru-baru ini menarik minat kelab gergasi Inggeris, Manchester City.

Menurut laporan The Sun, City sedang mencari pemain muda berbakat di sekitar Eropah sejak beberapa bulan lalu.

Malah, pengurusan tertinggi City turut dilaporkan mahu memuktamadkan perjanjian dengan Dembele.

Bukan suatu yang luar biasa jika City mahu menyambar pemain yang sudah mendapat pendedahan awal di peringkat antarabangsa pada usia muda.

Sumber City berkata: "Dembele berada dalam radar City sejak beberapa bulan lalu. Dia pemain berbakat.

"Kelab ini sentiasa mencari pemain bintang berpotensi di sekitar Eropah dan Dembele antara yang berjaya mencuri tumpuan," katanya.

Celtic dipercayai menurunkan Dembele pada perlawanan B-20 itu bagi membantu kes di mahkamah andai terdapat kelab lain cuba menyambar khidmatnya pada masa akan datang.

Difahamkan mereka akan menggunakan ia sebagai bukti kelab itu antara yang bertanggungjawab mengasah bakat Dembele dalam kes berkaitan pampasan ganti rugi.

Celtic dan City mempunyai hubungan rapat di peringkat eksekutif serta pernah mengadakan beberapa rundingan sejak beberapa musim lalu.

John Guidetti, Dedryck Boyata dan Jason Denayer merupakan pemain yang dipinjamkan antara kedua-dua kelab itu.

Pasukan kendalian pengurus Pep Guardiola itu pernah menandatangani kontrak dengan beberapa pemain muda berprofil tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk tujuan pembangunan akademi bola sepak kelab tersebut.

City turut berjaya mengikat pemain berusia 16 tahun, Jadon Sancho dari Watford dengan nilai perpindahan 300,000 pound pada awal tahun ini.

Artikel Lain