suria

KFA Jalin Kerjasama Dengan PPBN, Asah Bakat Muda

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (tiga kanan) menyampaikan jersi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) kepada Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sempena majlis menandatangani dokumen perjanjian persefahaman antara KFA dengan PPBN di Kementerian Belia dan Sukan pada Selasa. Turut hadir Timbalan Presiden KFA Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah (kiri), Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail (dua, kanan) dan Pengarah Kanan PPBN Safirul Azli Abu Bakar (kanan).

PUTRAJAYA: 'Melentur buluh biar dari rebungnya'.

Bertepatan dengan pepatah tersbut Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tampil menjadi negeri pertama menjalinkan Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Program Pembangunan BolaSepak Negara (PPBN) pada Selasa.

PPBN yang dilancarkan pada tahun 2014 memberi tumpuan khas kepada pembangunan bola sepak dan kejayaannya telah berjaya membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan program masa depan bola sepak negara.

Persetujuan KFA ini dianggap sebagai langkah awal kepada negeri-negeri lain untuk turut sama menjalinkan kerjasama dengan PPBN.

"Semenjak tahun 2015, PPBN telah pun menawarkan pelbagai bentuk kerjasama dengan persatuan-persatuan bola sepak negeri dan kelab yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyelaraskan semua inisiatif pembangunan di negeri masing-masing.

"Saya amat gembira kerana KFA di bawah naungan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menjadi persatuan pertama yang berbuat demikian," jelas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada Majlis MoU KFA dan PPBN pada Selasa.

Jelas beliau, KFA bukan sahaja menjadi persatuan yang pertama, malah telah meletakkan nama seorang lagenda pembangunan bola sepak Kedah di tempat yang sepatutnya.

"Semua maklum jasa Allahyarham Datuk Ahmad Basri Mohd Akil adalah cukup besar bukan sahaja di Kedah, malah di persada bola sepak negara," tambahnya.

Kerjasama yang diikat ini mengiktirafkan sistem PPBN di Kedah sebagai Unit Pembangunan Bola Sepak KFA dengan menamakan program bola sepak Sekolah Sukan Negeri (SSN) sebagai Akademi Elit Remaja KFA (Adab) untuk pemain remaja berusia 13 hingga 17 tahun.

Sementara Presiden KFA, Ahmad Bashah berkata, satu lagi sejarah penting dalam perkembangan bola sepak negara khususnya negeri itu telah tercatat menerusi MoU berkenaan.

"Semoga dengan kerjasama ini, bakat-bakat muda di Kedah akan mendapat manfaat yang besar dan seterusnya akan menjamin kesinambungan kejayaan pasukan bola sepak Lang Merah di masa-masa akan datang," jelas beliau.

KFA, PPBN, Bola Sepak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain