suria

Piala Malaysia: Kedah Hilang Empat Tonggak Utama

Azmeer Yusof (kanan) antara pertahanan Kedah yang mengalami kecederaan.

KEDAH terpaksa melupakan khidmat empat tonggak utamanya ketika berkunjung ke Pasir Gudang bagi berdepan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia pada Selasa malam.

Empat pemain utama yang mengalami kecederaan itu terdiri daripada dua pemain import dan dua pemain tempatan.

Mereka ialah Bang Seung Hwan, Thiago Augusto Fernandez, Arif Farhan dan Azmeer Yusof.

"Saya terpaksa meninggalkan Seung Hwan, Arif Farhan dan Azmeer di Alor Setar kerana mereka mengalami kecederaan dalam perlawanan lalu dan tidak dapat membantu kita di Johor.

"Masalah seperti ini bukan dilalui oleh Kedah sahaja malah pasukan-pasukan lain yang terlibat dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia berikutan jadual padat.

"Saya sedikit lega kerana beberapa pemain yang cedera ketika kita bertemu Pahang sudah pulih. Oleh itu saya dapat menggunakan khidmat mereka pada perlawanan ini.

"Ini kerana matlamat utama kita ke Pasir Gudang ialah untuk mengutip tiga mata penuh walaupun ia dianggap sukar apabila beraksi di tempat lawan," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe menambah, kemenangan itu penting bagi skuad hijau kuning untuk terus kekal sebagai pendahulu Kumpulan A dan melangkah ke pusingan seterusnya.

"Pemain perlu berusaha sedaya-upaya meningkatkan prestasi mereka walaupun terasa letih kerana hanya kesungguhan dan perjuangan sepanjang permainan akan menjamin kejayaan akan menjadi milik kita.

"JDT II sudah mula menunjukkan kebangkitan dan kejayaan selepas mereka berjaya mencipta kemenangan dalam perlawanan Liga Perdana sebelum ini.

"Oleh itu saya juga telah membuat perancangan terbaik untuk membariskan kesebelasan utama yang diharap dapat membawa kemenangan untuk Kedah," tegasnya.

Cheng Hoe turut menyeru penyokong Kedah yang berada di sekitar Johor untuk turut sama memberi sokongan kepada skuad Helang Merah dalam usaha memburu kemenangan.

Kedah setakat ini telah melalui tiga perlawanan dalam kumpulan A dan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan mengumpul tujuh mata.

T-Team menghuni kedudukan kedua dengan empat mata manakala JDT II di kedudukan ketiga (tiga mata) dan Sarawak (satu mata).

Kedah, Johor, Piala Malaysia

Artikel Lain