suria

Jangan Panik Aksi Atlet Negara Di Rio Setakat Ini - Dr Khairi

Dr Khairi Zawi.

KUALA LUMPUR: Peminat sukan tanah air diminta tidak panik dengan aksi atlet negara yang sudah beraksi di Sukan Olimpik Rio de Janeiro setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi berkata, ini berikutan atlet yang menjadi sandaran pingat negara seperti Pandelela Rinong (terjun), Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal trek), masih belum turun beraksi.

"Jadual acara melibatkan atlet sandaran pingat masih belum mula, macam mana masyarakat boleh mengharapkan atlet yang sudah membuat penampilan ini menyumbang pingat. 

"Lainlah kalau atlet sandaran pingat tidak berjaya, barulah kita boleh berikan reaksi dan komen tertentu," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa kurang senang dengan kritikan sesetengah pihak yang memandang sinis kepada pencapaian atlet yang telah mengharungi acara mereka di Rio.

Lebih malang, apabila masyarakat mula membuat perbandingan dengan dua negara Asean iaitu Thailand dan Vietnam yang telah meraih pingat emas masing-masing dalam acara angkat berat wanita menerusi Sopita Tanasan dan menembak lelaki oleh Hoang Xuan Vinh. 

Katanya, kritikan itu boleh menimbulkan aura negatif dan sedikit sebanyak mengganggu persediaan atlet sama ada yang belum membuat penampilan atau yang akan beraksi dalam acara lain yang turut disertai mereka.

"Kejayaan sukan adalah kejayaan masyarakat, jadi masyarakat perlu beri sokongan. Tapi kita sudah timbulkan aura negatif dan ia tidak akan membantu atlet kita di sana (Rio).

"Masyarakat kita ini ada dua sikap. Kalau menang atau berjaya, dipuji melambung-lambung tapi kalau kalah, kita akan kutuk habis-habisan. Kita tidak ada golongan yang memberi dorongan," katanya sambil menambah perkara itu jarang berlaku di negara luar.

Sementara itu, mengulas prestasi atlet yang telah pun bertanding selepas dua hari pembukaan rasmi Sukan Olimpik, beliau berkata prestasi atlet terlibat sebenarnya telah mencapai apa yang ditetapkan. 

Katanya, beliau berpuas hati dengan pencapaian atlet khususnya perenang negara Welson Sim yang telah mencatat masa yang menyamai rekod kebangsaan walaupun gagal menempatkan diri ke peringkat akhir.

"Apa yang saya boleh katakan, kesemua mereka ini telah mempersembahkan prestasi terbaik mereka. Ia adalah persembahan yang membanggakan.

"Tetapi masyarakat melihat dari sudut lain. Apabila tidak meraih pingat, mereka melihat ia sebagai persembahan buruk dan tidak menepati jangkaan mereka untuk dapat pingat, sedangkan mereka ini (atlet) bukan sandaran pingat," katanya. 

Sebelum ini, trio memanah terdiri daripada Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin gagal ke suku akhir apabila tewas kepada Perancis 2-6 dalam acara recurve lelaki berpasukan, manakala Sim gagal ke peringkat akhir acara 200m dan 400m gaya bebas.

Penembak negara Johnathan Wong pula sekadar di tangga ke-28 acara 10m air pistol lelaki manakala gandingan Cheong Jun Hoong dan Nur Dhabitah Sabri terlepas pingat gangsa acara terjun 3m papan anjal seirama apabila menduduki tangga kelima akibat gagal mengekalkan aksi baik pada dua terjunan terakhir. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain