suria

Minat, Usaha, Doa - Ramuan Kejayaan Pengadil Wanita Negara

Rita pengadil wanita Malaysia pertama bertugas pada Sukan Olimpik di Brazil. foro - AFC

"MINAT yang dicampurkan usaha dan akhir sekali ungkapan doa semoga apa yang diimpikan menjadi kenyataan."

Itulah tiga ramuan hidup pengadil wanita tunggal negara yang bakal bertugas pada Sukan Olimpik, Rio de Janeiro Ogos ini, Rita Ghani.

Nama Rita dalam sukan bola sepak sememangnya amat sinonim dengan peminat-peminat bola sepak wanita dan juga barisan pengadil negara.

Sebelum secara rasmi bergelar pengadil profesional, wanita yang baharu menyambut ulang tahun kelahiran kali ke-39 pada 11 Mei lalu merupakan bekas penyerang pasukan wanita Malaysia.

Bagi mengembangkan lagi minatnya dalam dunia bola sepak, Rita tidak mensia-siakan bakatnya dan mula terlibat dengan dunia pengadilan sejak 2006.

Dan sejak itu, langkah tegasnya dalam mengadili setiap perlawanan berterusan sehingga dinobatkan pengadil terbaik di peringkat Asia. Baginya, setiap cabaran yang dihadapi adalah asam garam dunia pengadil.

Menurut Rita, dia tidak meletak sebarang harapan untuk dipilih bertugas di Brazil nanti memandangkan pengadil-pengadil wanita dari negara Asia lain tidak kurang hebatnya.

"Saya tidak jangka akan terpilih Ogos ini, tetapi dalam pada itu sentiasa berusaha dan berdoa agar layak ke Rio," jelasnya menerusi Aplikasi WhatsApp kepada mstar Online, Rabu.

Pun begitu, pemenang anugerah Pengadil Wanita Terbaik Asia 2014 ini mengakui ia adalah tawaran terbaik sepanjang kariernya dan menganggap segala usaha keras akhirnya membuahkan hasil. Malah Rita turut berterima kasih kepada suami, keluarga, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dah rakan-rakan pengadil yang sentiasa memberi sokongan padu.

Hanya tinggal sebulan lebih lagi sebelum meniup wisel permulaan di Rio, Rita kini fokus membuat persiapan rapi dari segi menatal dan fizikal.

Malah, ketika Ramadan Rita tetap menjani latihan persiapan sebelum terbang ke Brazil penghujung Julai nanti.

"Jadual harian saya tidak berubah. Tetap berlatih pada sebelah pagi atau petang mengikut program yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

"Saya menyambut Ramadan ini secara sederhana sahaja memandangkan sibuk dengan latihan. Saya bersyukur kerana suami, Mohd Shahrizal Ramli amat memahami dan memberi sokongan penuh.

"Pun begitu saya tetap tidak lupakan makanan kesukaan saya, pengat pisang versi ibu sendiri. Bagi saya ia adalah pengat pisang yang paling sedap di dunia," jelas pengadil kelahiran Sabah ini.

Disebalik kesibukan itu, Rita turut tidak ketinggalan membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk diraikan dengan penuh kesyukuran.

"Saya membuat persiapan hari raya secara sederhana sahaja. Tetapi saya akan pulang ke kampung sebelah suami terlebih dahulu di Pontian sebelum beraya di Sabah. Ini sahaja masa yang ada sebelum mula bertugas di Brazil," katanya.

Rita menerima trofi Pengadil Wanita Terbaik Asia 2014

Selain mengadili perlawanan tempatan, Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini juga pernah mengadili perlawanan Kelayakan Piala AFC Wanita Bawah 16 Tahun 2015 serta Piala Algarve 2014 di Portugal.

Lebih membanggakan lagi, Rita turut terpilih bertugas pada aksi Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada bersama seorang lagi pengadil negara, Widiya Shamsuri.

Pada kejohanan dunia itu, Rita menjadi pengadil bagi Kumpulan C iaitu pertembungan antara Switzerland dengan Ecuador pada 12 Jun 2015.

Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan seramai lima pengadil dari Asia (tiga lelaki dan dua wanita) yang dipilih untuk mengadili perlawanan bola sepak pada Olimpik di Rio 2016.

Jawatankuasa Pengadil Fifa telah melantik seramai 88 pegawai perlawanan dari 40 negara untuk kejohanan berkenaan.

Perlawanan bola sepak lelaki bakal melibatkan 18 pengadil dan 32 penolong pengadil, manakala  kategori wanita pula bakal diadili dengan 14 pengadil dan dibantu 24 penolongnya.

Seorang lagi wakil pengadil wanita dari Asia yang dipilih bersama Rita ialah Ri Hyang-ok dari Korea Selatan.

Selain itu, Rita bakal dibantu oleh dua pengadil, Allyson Flynn (Australia) dan Naomi Teshirogi dari Jepun.

Profil




Nama penuh: Rita Ghani

Tarikh lahir: 11 Mei 1977

Asal: Sabah

Karier tetap : Anggota Polis Diraja Malaysia

Karier semasa :  Pengadil Fifa sejak 2006

Antara sebahagian pengalaman antarabangsa Rita sebagai pengadil:

2014- Kejohanan Bola Sepak Wanita Asia

2014 -Piala Algarve di Portugal.

2015- Piala AFC Wanita Bawah 16 Tahun

2015-Piala Dunia Wanita di Kanada

Artikel Sebelum

Artikel Lain