suria

Liga Super: Baddrol, Ariff Kembali Perkuatkan Kedah

TAN Cheng Hoe yakin rentak permainan Kedah akan kembali kemas dan terkawal dengan kehadiran Baddrol Bakhtiar dan Arif Farhan dalam saingan Liga Super di Stadium Selayang pada Selasa.

Ketua Jurulatih Kedah itu berkata, barisan pemain skuad Helang Merah perlu memperkemaskan permainan dalam perlawanan menentang Selangor.

"Ketiadaan Baddrol Ariff dalam perlawanan Piala FA memang dirasai kerana prestasi keseluruhan dan penguasaan bola agak terjejas.

"Tapi itu tidak bermakna pemain simpanan yang diturunkan gagal menjalankan tugas kerana mereka juga memberikan aksi terbaik.

"Namun, untuk bertemu lawan seperti Selangor, pemain perlu memberikan perhatian sepenuhnya sepanjang 90 minit permainan kerana mereka sebuah pasukan yang mantap," katanya kepada mStar Online.

Cheng Hoe menambah, pemain juga diingatkan bahawa Selangor turut menjalani proses memperkemaskan pasukan berkenaan apabila dibimbing oleh Zainal Abidin Hassan pada musim ini selepas mereka menjuarai Piala Malaysia.

"Selangor bukanlah calang-calang pasukan yang dapat dijinakkan dengan mudah. Hanya dengan aksi terbaik sahaja pemain akan dapat membawa kemenangan pulang bersama kita nanti," tegasnya.

Katanya, dengan tempoh masa yang singkat selepas aksi Piala FA, Cheng Hoe berharap pemain berada dalam keadaan cergas dan bersedia untuk 'bertempur' di ibu negara.

"Selayang adalah stadium yang lebih bertuah berbanding Stadium Shah Alam kerana di sinilah barisan pemain kita beraksi sebanyak dua kali pada suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu. Mereka menganggap stadium ini sebagai gelanggang sendiri selain dari Stadium Darul Aman.

"Saya tidak khuatir tentang sokongan peminat setia keran kita mempunyai penyokong yang tinggal di Lembah Klang yang akan memenuhi stadium itu," jelas Cheng Hoe.

NOTA: Peminat pasukan Kedah disaran mengundi pasukan anda yang bersaing bersama lima pasukan sukan lain untuk memenangi Anugerah Pasukan Sukan Pilihan Online bagi Anugerah Pilihan Online anjuran Mstar Online dan Suria fm di laman web tersebut http://apo.mstar.com.my/undi.aspx

Artikel Lain