suria

APO2016: Senarai Akhir Bintang Sukan Lelaki & Wanita Pilihan Jadi Tumpuan

Pandelela Rinong

PETALING JAYA: Senarai pencalonan lima terbaik Anugerah Pilihan Online (APO2016) bagi kategori Bintang Sukan Lelaki Pilihan dan Bintang Sukan Wanita Pilihan menyaksikan persaingan sengit yang pastinya membuatkan pengundi-pengundi 'pening kepala' untuk memilih siapa terhebat di kalangan terbaik.

Seperti dijangka jaguh badmionton negara, Datuk Lee Chong Wei antara nama besar yang tersenarai dalam kategori tersebut bersama seorang lagi calon yang merupakan prospek emas Sukan Olimpik 2016 dalam acara berbasikal, Azizulhasni Awang.

Turut tersenarai dalam lima kedudukan terbaik selepas menilai pencalonan peminat-peminat bola sepak tempatan adalah kapten Harimau Malaysia serta pasukan Johor DT, Safiq Rahim.

Ternyata atlet bola sepak menguasai tiga daripada lima terbaik dengan menyaksikan pemain tengah Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri yang mencipta sepakan percuma unik baru-baru ini menjadi pilihan.

Faiz Subri


Manakala seorang lagi pemain muda penuh sensasi negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor yang menyarung jersi negara serta beraksi bersama pasukan Selangor musim ini dijangka bakal memeriahkan pengundian akhir perebutan gelaran Bintang Sukan Lelaki Pilihan yang pertama kali dianjurkan ini.

Sementara itu, bagi kategori Bintang Sukan Wanita Pilihan, nama ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menguasai kelompok senarai lima terbaik.

Pencapaian Nicol di peringkat dunia tidak perlu dipertikaikan lagi malah aksi konsisten atlet kelahiran Pulau Pinang itu menjadikan beliau antara bintang sukan paling berjaya di negara.

Tidak ketinggalan, atlet Olimpik negara kelahiran Sarawak, Pandelela Rinong yang menjadi pilihan peminat-peminat sukan tanah air.

Pandelela merupakan atlet negara pertama yang layak beraksi pada Sukan Olimpik di Rio Ogos ini selepas meraih gangsa pada aksi 2012 di London.

Selain itu, rekodnya pada kejohanan Piala Dunia baru-baru ini mengukuhkan lagi keyakinan untuk melihat nama Malaysia menjulang pingat di Brazil tidak lama lagi.

Satu lagi slot senarai akhir itu turut diisi dengan pencalonan atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi yang membuat kejutan pada Sukan SEA di Singapura tahun lalu dengan meraih dua pingat emas dan tiga gangsa.

Manakala pelumba trek berbasikal negara, Fatehah Mustapa turut menjadi pilihan berentap untuk merangkul gelaran terbaik ini berdasarkan kejayaannya mencipta nama di persada dunia, antaranya meraih pingat gangsa dalam acara pecut wanita elit pada Kejohanan Berbasikal Asia 2015.

Fatehah Mustapa


Lebih membanggakan lagi atlet kelahiran Terengganu itu sudah mengesahkan tiket ke Rio bagi aksi Sukan Olimpik Ogos ini.

Bagaimanapun, keputusan pemenang dalam kedua-dua kategori ini terpulang kepada peminat-peminat masing-masing kerana dibuat berdasarkan undian masing-masing.

Proses pengundian fasa kedua bermula 1 April hingga 27 April depan dan sepanjang tempoh itu undian boleh dibuat setiap hari (sekali sehari) menerusi akaun Facebook, Instagram dan Google di laman web http://apo.mstar.com.my/utama.aspx.

Debaran APO2016 mulai dirasai selepas peringkat pertama berakhir pada 31 Mac dan pengumuman senarai pencalonan lima terbaik itu diadakan di Menara Star di 31 Mac lalu.

Semasa tempoh pencalonan yang bermula 3 Mac sehingga 30 Mac 2016, pihak penganjur menerima kira-kira 120,000 pencalonan yang dibuat menerusi laman web khas APO2016 iaitu http://apo.mstar.com.my/undi.aspx

Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April 2016 (Sabtu) dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.

Ia bakal dimeriahkan dengan gabungan tiga pengacara iaitu pasangan deejay Suria Pagi, Suria FM iaitu Adibah Noor dan Baki Zainal yang akan disokong oleh pengacara hebat Awal Ashaari.

Artikel Lain