suria

Antonio Conte Sah Jurulatih Baharu Chelsea

Antonio Conte.

LONDON: Pengendali skuad kebangsaan Itali, Antonio Conte sah dilantik sebagai jurulatih baharu Chelsea pada Isnin.

Conte, 46, akan berhijrah ke London selepas menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan Chelsea selepas kempen Euro 2016 berakhir.

Bekas pengurus Juventus itu mengambil alih tugas mengemudi skuad kebangsaan Itali pada Ogos 2015 dan mengesahkan tempat ke saingan Euro 2016.

"Saya gembira apabila kami membuat pengumuman ini ketika ini. Jadi segala-galanya jelas dan kami boleh menamatkan spekulasi," kata Conte.

Nama Conte sebelum ini sering disebut-sebut sebagai pilihan utama menggantikan pengurus sementara The Blues, Guus Hiddink di Stamford Bridge.

Pengesahan itu dikeluarkan dalam satu kenyataan oleh laman web Chelsea.

Conte akan menjadi pengendali dari Itali kelima untuk mengemudi Chelsea selepas Gianluca Vialli, Claudio Ranieri, Carlo Ancelotti dan Roberto Di Matteo.

Beliau beraksi dalam lebih 400 perlawanan bersama Juventus dan memimpin kelab itu memenangi tiga trofi Serie A dari 2012 hingga 2014.


Antonio Conte, Chelsea

Artikel Berikut

Artikel Lain