suria

Khairul Idham Bukti Jaguh Kampung Boleh Berjaya Di Pentas Dunia

Pawi menunjukkan sebahagian daripada kejayaan anaknya Khairul Idham sejak menceburi karier sebagai pelumba motosikal pada 2012. - fotoBERNAMA

KAMPUNG GAJAH: Khairul Idham Pawi telah membuktikan bahawa pelumba kampung juga boleh melakarkan kejayaan setanding dengan pelumba Eropah di pentas sukan permotoran dunia, kata bapa pelumba itu, Pawi Omar.

Beliau berkata kejayaan anak kelahiran Kampung Gajah di sini telah menunaikan janjinya untuk mencipta sesuatu untuk membanggakan keluarga apabila menceburi sukan itu pada usia awal.

Menurutnya, kejayaan anak muda berusia 17 tahun itu menjuarai acara Moto3 pada MotoGP Dunia di Grand Prix Argentina, awal pagi Isnin amat membanggakan bukan sahaja keluarga malah negeri dan negara.

"Alhamdulillah kejayaan anak saya membuktikan pelumba dari kampung juga boleh berjaya di pentas dunia jika dipupuk dengan keazaman yang tinggi," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini Isnin.

Beliau berkata anaknya itu mula berjinak-jinak dalam sukan permotoran seawal usia 12 tahun dan pernah berjanji akan mencipta sesuatu yang membanggakan keluarga.

Katanya, Khairul Idham berlatih sekurang-kurangnya dua jam setiap hari di Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah sejak berusia 14 tahun bagi memastikan impiannya tercapai.

Berkongsi kegembiraan itu, Pawi, 52, berkata anggota keluarga sanggup bersengkang mata untuk menonton perlumbaan tersebut yang disiarkan secara langsung pada awal pagi waktu tempatan.

"Kami semua teruja dengan aksi tunggangannya yang mampu menyaingi jaguh-jaguh lain. Yang pasti kami tidak berganjak di depan televisyen dan bersorak sakan dengan kemenangan Khairul Idham," katanya.

Khairul Idham melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menaiki podium pada Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 dengan catatan masa 41 minit 35.452 saat dalam 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo.

"Saya memberi galakan kepadanya menyertai sukan permotoran daripada membiarkan terlibat dengan sebarang aktiviti tidak berfaedah atau menyalahi undang-undang," katanya yang menjalankan perniagaan jual beli kelapa sawit.

Pawi, bagaimanapun, mengakui agak sedih kerana beliau dan isteri Hasnah Sulaiman, 49, tidak dapat menemani anaknya itu di Argentina disebabkan kekangan kewangan.

Khairul Idham memulakan kerjaya sebagai pelumba pada 2012 dengan menyertai perlumbaan 'Honda One Make Series' sebelum memenangi juara kategori Wira Cub Prix pada tahun 2013, diikuti kejuaraan pada Asia Dream Cup setahun kemudian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana

Artikel Berikut

Artikel Lain