suria

India Juara Hoki Piala Remaja Asia

KUANTAN: India muncul juara Kejohanan Hoki Piala Remaja  Asia 2015 selepas menundukkan Pakistan 6-2 di perlawanan akhir di Stadium Hoki Kuantan di sini, malam ini.


Babak awal perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun India bertindak garang membolosi pertahanan Pakistan dengan menjaringkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Hermanpreet Singh pada minit ke-10.

Hermanpreet menambah gol kedua India pada minit ke-15 juga menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Pakistan merapatkan kedudukan tiga minit selepas itu hasil jaringan Muhammad Yaqoob, juga dari pukulan sudut penalti.

Ketajaman pukulan Hermanpreet sekali lagi terbukti apabila dia melengkapkan hatrik, juga menerusi cara sama pada minit ke-30. Pakistan cuba bangkit pada babak kedua dengan menggasak gawang lawan, namun pertahanan kental India dibantu sokongan padu penonton ternyata mengecewakan naib juara edisi terdahulu.

India terus mempamerkan aksi cemerlang apabila menjaringkan gol keempat menerusi jaringan padang Armaan Qureshi pada minit ke-44 sebelum menambah gol seterusnya enam minit kemudian menerusi jaringan Manpreet Jnr. 

Hermanpreet muncul wira India apabila menyumbat gol keempat peribadi dan ke-enam pasukan pada minit ke-53 menerusi pukulan sudut penalti. 

Pakistan merapatkan jurang gol pada minit ke-68 menerusi Muhammad Dilber tapi ia sudah terlambat untuk menafikan kejuaraan buat India.

Sementara itu, pengurus India, Romeo James berkata semangat berpasukan dan komunikasi baik antara pemainnya adalah kunci kejayaan pasukannya.

"Saya berharap persembahan ini akan berterusan dan memberi motivasi kepada mereka untuk melakukan yang terbaik di Piala Dunia Remaja 2016," katanya.  

Sementara itu, Korea Selatan menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Jepun 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung malam ini.

Korea bermula agresif apabila membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Kim Sung Yeob hasil pukulan sudut penalti sebelum Ji Woo Cheon menjaringkan gol kedua pada minit ke-18.

Gol tunggal Jepun dijaringkan Miyazaki Shunya menerusi jaringan padang pada minit ke-34, dan kedua-dua pasukan gagal menambah gol pada separuh masa kedua walaupun membuat beberapa kali percubaan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. -Bernama

Piala Asia Remaja, India Juara

Artikel Lain