suria

BAM Akan Sediakan Bantuan Terbaik Untuk Chong Wei Hadapi Rio 2016

Lee Chong Wei

PUTRAJAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan memberi bantuan yang terbaik kepada bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.


Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata persediaan itu sangat penting bagi Chong Wei untuk menyumbangkan pingat emas pertama buat negara di temasya empat tahun sekali itu.

"Persediaan kali ini sangat penting untuknya dan juga rakyat Malaysia yang menginginkan emas pertama buat negara. Selain bantuan daripada segi jurulatih dan latihan, kita juga akan membincangkan bagaimana nak bantunya menerusi Program Podium.

"Saya amat bangga dengan Chong Wei, dia merupakan ikon lagenda kepada negara...Aksi yang ditunjukkan pada usia 33 tahun memang menakjubkan. Saya rasa ada sinar di hujung terowong untuk memenangi pingat emas pertama itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Polo Terbuka Malaysia di Taman Ekuestrian Putrajaya, pada Ahad.

Mohamad Norza sebelum itu diminta menggulas kejayaan Chong Wei menjuarai Kejohanan Siri Super Terbuka Hong Kong, Ahad.

Chong Wei meraih gelaran Terbuka Hong Kong yang keempat peribadinya dan gelaran kelimanya musim ini sejak kembali ke gelanggang selepas bebas daripada penggantungan lapan bulan akibat kesalahan doping Mei lalu.

Dia yang kini menduduki ranking keenam dunia hanya memerlukan 49 minit untuk menundukkan pemain nombor 10 dunia dari China, Tian Houwei 21-16, 21-15 di Hong Kong Coliseum.

Chong Wei turut menewaskan pemain nombor satu yang juga juara dunia, Chen Long dua kali dalam tempoh enam hari - di suku akhir Terbuka Hong Kong selepas menjinakkan lawan sama di final Terbuka China Ahad lalu.

Sementara itu, Mohamad Norza turut percaya disiplin, fokus dan komitmen yang dimiliki Chong Wei merupakan faktor kejayaannya.

"Ketika dia menghadapi masalah doping, rakyat Malaysia berada bersamanya untuk mengatasinya. Saya rasa ini cara terbaik untuk dia membalas balik kepada rakyat dengan memberikan satu permainan yang menakjubkan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain