suria

Jangan Hukum Pasukan Negara Disebabkan Kesilapan Dua Minit - Arul

Pasukan hoki remaja negara menamatkan saingan di tempat kelima Piala Asia Remaja.

KUANTAN: "Jangan hukum disebabkan kegagalan dua minit terakhir perlawananan menentang Korea Selatan, sebaliknya lihat potensi yang ada pada mereka untuk jangka masa panjang," kata jurulatih skuad hoki remaja negara A. Arul Selvaraj.


Katanya walaupun gagal mendapat tiket ke Piala Remaja Dunia 2016, ia tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur kemampuan skuad remaja negara yang berpotensi mengorak langkah ke hadapan jika digilap dan diberikan peluang.

"Daripada segi sikap dan peningkatan yang ditunjukkan, ia amat ketara, malah hasil latihan dan pendedahan yang diberikan, ramai pemain muda ini dilihat berpotensi jika dididik secara menyeluruh termasuk daripada segi pemakanan dan disiplin.

"Walaupun gagal, pasukan ini harus dikekalkan seramai mungkin kerana setiap pemain mempunyai tahap kematangan yang berbeza.

"Mungkin pada usia 21 tahun ini mereka membuat kesilapan tetapi mereka ini akan meningkat dan akan matang untuk membantu negara dalam sukan ini. Beri mereka peluang untuk buat silap dan memperbaikinya selepas itu," katanya kepada pemberita selepas sidang media pada Ahad.

Sebagai jurulatih, Arul berkata beliau sedia memikul tanggungjawab kegagalan pasukan negara melayakkan diri ke Piala Remaja Dunia, namun setiap pemain mahupun jurulatih telah berkorban masa dan keringat untuk mencipta kemenangan.

Sehubungan itu, katanya semua pihak harus memberi sokongan positif kepada skuad remaja negara untuk terus menggilap bakat muda ini kerana hakikatnya Malaysia kekurangan pemain pelapis yang boleh diserapkan dalam skuad senior pada masa akan datang.

"Kita tidak boleh bandingkan pasukan ini dengan Korea dan China kerana kita mempunyai perbezaan daripada segi budaya serta pemakanan dan disiplin. Namun dalam perkara tertentu kita mempunyai kelebihan termasuk daripada segi kemahiran.

"Jika kita buat pelaburan ke atas mereka, saya yakin untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang negara kita akan mendapat hasilnya nanti," katanya.     

Sementara itu, pengurus pasukan Mirnawan Nawawi menyerahkan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk membawa hala tuju skuad remaja selepas kejohanan berkenaan. 

"Saya lihat pasukan ini berkualiti dan berpotensi. Kita kena tingkatkan prestasi mereka yang berumur di bawah 21 tahun ini kerana mereka yang akan bawa cabaran di masa depan.

"KHM meletakkan sasaran kita layak ke Sukan Olimpik 2020 dan dalam tempoh lima tahun akan datang, merekalah yang akan memikul tanggungjawab ini.

"Jadi kita serahkan kepada KHM untuk tentukan masa depan mereka dan saya lihat jika pemain dalam pasukan ini dikekalkan, ia adalah jalan yang terbaik," katanya. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain