suria

MSN Kelantan Minta Ujian Doping Pada Setiap Kejohanan

KOTA BAHARU: Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan meminta pihak berkuasa sukan di negara ini supaya menjalankan ujian doping terhadap semua atlet yang menyertai kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan.

Pengerusi MSN Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata langkah itu wajar dilaksanakan secepat mungkin bagi membendung pengambilan dadah terlarang dalam kalangan atlet.

"Ujian doping boleh dijadikan sebagai perkara yang wajib kepada semua atlet pada setiap kali perlawanan diadakan, bukan secara rawak sebagaimana yang diamalkan sekarang ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mesra Raya MSN Kelantan di sini, Isnin.

Beliau diminta mengulas mengenai pemain simpanan Kelantan yang didakwa terbabit penyalahgunaan dadah selepas perlawanan Piala FA menentang kelab Johor Darul Takzim pada 29 Jun lepas.

Akhbar sebelum ini melaporkan pemain Kelantan itu didapati positif dalam ujian doping selepas aksi final Piala FA lepas, namun menafikan ada mengambil bahan terlarang sehingga gagal dalam ujian yang dijalankan secara rawak itu.

Ahmad Jazlan, yang juga Anggota Parlimen Machang, berkata persaingan dalam kalangan atlet bagi mewakili persatuan pada sesuatu kejohanan mungkin turut menjadi penyebab kepada penyalahgunaan dadah dalam kalangan mereka.

"Persaingan sekarang ini juga boleh menjadi penyebab kepada penggunaan dadah jenis terlarang dan mungkin ia berleluasa dalam kalangan atlet, cuma pihak persatuan sukan sahaja yang tak menyedari ataupun tak dapat kesan perkara ini," katanya.

Justeru, katanya pihak persatuan perlu mengambil tindakan tegas terhadap atlet yang terbukti terlibat menyalahgunakan dadah agar ia menjadi pengajaran kepada atlet lain, sekali gus dapat mendidik generasi baharu untuk bersukan dengan cara yang betul.

"Pihak persatuan mesti mengambil tindakan tegas seperti menggantung seumur hidup pemain tersebut agar ia menjadi pengajaran kepada atlet lain, selain dilihat mampu mengekang perkara sama daripada berulang dan menjaga imej bukan sahaja persatuan, malah negara di mata peminat sukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain