suria

MB Terengganu Didesak Pecat Jurulatih T-Team

KUALA TERENGGANU: Kemelut dalaman pasukan kelab T-Team telah sampai kemuncak apabila Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said diminta memecat jurulatih Peter James Butler.

Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Terengganu Mohamed Sekanther Abdul Hamid berkata pihaknya mempunyai beberapa alasan untuk meminta Menteri Besar berbuat demikian.

"Rakyat Terengganu merasakan T-Team di bawah Butler begitu malap sekali," katanya ketika menuntut penyingkiran Butler sebagai jurulatih T-Team pada sidang media pada Isnin.

Beliau berkata apa yang memalukan ialah kedudukan T-Team dalam carta Liga Super di tempat ke-11 tanpa mencatat sebarang kemenangan setelah pusingan pertama berakhir.

Yang lebih membimbangkan lagi, katanya, T-Team akan turun ke Liga Perdana tahun depan sekiranya Menteri Besar tidak campur tangan dalam kemelut yang dihadapi pasukan itu.

Sementara itu, bekas jurulatih T-Team, Badrul Hisham Abdullah berkata Menteri Besar perlu berbuat sesuatu untuk menyelamatkan pasukan itu.

Beliau berkata cara Butler mengendalikan T-Team bukannya membuat pasukan itu semakin menyengat tetapi bertambah malap.

"Jurulatih kena bertanggungjawablah .. kalau di Eropah bila pasukan merudum, secara hormat jurulatih mengundur diri," katanya.

Badrul Hisham mendakwa Butler sering memberi alasan sama antaranya pemain tidak berpengalaman selepas setiap kali pasukan itu mengalami kekalahan.

Beliau berkata pengurusan T-Team perlu berani menerima risiko dan berani membuat perubahan sekiranya ingin melihat pasukan itu terus kekal dalam Piala Malaysia musim ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain