suria

KAFA Cadang Jual Hanya 20, 000 Tiket Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV

KOTA BAHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mencadangkan hanya 20,000 tiket dijual bagi setiap perlawanan membabitkan pasukan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada musim baharu Liga Malaysia, bermula Januari ini.

Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata cadangan tersebut sebagai langkah membendung penjualan tiket haram telah dikemukakan kepada pihak pengurusan stadium dalam satu perbincangan semalam.

Selain itu, KAFA turut mengesyorkan jualan tiket bermusim bagi tempat duduk astaka yang mana rekod pemilik tiket akan dipantau, katanya dalam laman sosial Facebooknya pada Jumaat.

Stadium berkenaan mempunyai kapasiti penonton seramai 30,000.

Isu penjualan tiket haram oleh ulat tiket sering menimbulkan kemarahan penyokong apabila ia dijual dengan harga berlipat ganda terutama bagi perlawanan yang mendapat sambutan hangat.

Annuar berkata KAFA juga akan melantik penyiasat dan pemantau bebas untuk memantau 'orang dalam' yang terlibat dengan penjualan tiket selain melakukan tapisan terhadap petugas jualan tiket.

"Pegawai, pemain atau kakitangan KAFA juga tidak dibenarkan untuk membuat atau mengambil sebarang tempahan luar daripada kaunter melainkan tiket itu telah diperuntukkan kepada mereka.

"Sebanyak 2,000 hingga 2,500 tiket akan dicetak mengikut pintu masuk yang ditetapkan agar agihan jumlah masuk melalui setiap pintu dapat diseimbangkan, selain menyediakan sebuah pintu masuk khas kepada penyokong wanita, kanak-kanak dan yang hadir bersama keluarga," katanya.

Annuar berkata pengurusan stadium juga disaran untuk memasang pintu automatik atau 'turnstile' (pintu lawang putar) bagi mengelak karenah kutipan tiket tidak sempurna. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain