suria

Presiden KOM Sedia Guna Khidmat Bekas Jurulatih Olahraga

KUALA LUMPUR: Presiden baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Zainal Abidin Ahmad menyatakan kesediaan menerima kembali beberapa bekas jurulatih negara yang berhasrat untuk berkhidmat semula dalam sukan olahraga negara.

"Mereka (bekas jurulatih negara) mungkin datang selepas melihat saya (kembali) menerajui KOM... mereka mempunyai banyak pengalaman, jadi baguslah (sekiranya) mereka dapat membantu kembali mencungkil bakat baru dalam sukan olahraga negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama atlet dan jurulatih negara di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini yang turut dihadiri bekas jurulatih, seperti Hanafiah Nasir dan Harun Rasheed.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, beliau harus meneliti terlebih dahulu tugas bekas jurulatih olahraga negara itu sekiranya mereka benar-benar berminat menabur bakti meningkatkan martabat sukan olahraga.

"Saya kena lihat dahulu dan kita akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada kita boleh menggunakan khidmat mereka untuk menjadi tenaga jurulatih untuk KOM," katanya.

Sementara itu, Harun Rasheed yang pernah digantung setahun kerana didakwa bersubahat melarikan atlet ke Bulgaria daripada menjalani ujian doping berkata, beliau bersedia berkhidmat semula, sekiranya badan induk sukan olahraga itu kekurangan jurulatih tempatan.

"Saya mengenali rapat Datuk Zainal beberapa belas tahun lepas dan saya bersetuju membantu beliau meningkatkan kembali maruah sukan olahraga negara sekiranya KOM benar-benar memerlukan khidmat saya," katanya.

Beliau turut yakin bahawa skuad olahraga negara mampu memungut sebanyak mungkin pingat emas pada Sukan SEA di Myanmar tahun depan, sekiranya barisan kepimpinan baru KOM kali ini, memberi kerjasama dalam penganjuran kejohanan tempatan.

"Kegagalan kita meraih pingat emas dalam beberapa temasya Sukan SEA sejak beberapa edisi lepas disebabkan kekurangan pertandingan olahraga di dalam negeri.

"Namun, sekiranya KOM dan MSN mampu merangka lebih banyak kejohanan olahraga tempatan dalam masa terdekat ini, bagi saya tidak mustahil sukan olahraga negara akan kembali menyinar di peringkat lebih tinggi," ujar Harun.

Pandangan sama turut diutarakan bekas ketua jurulatih negara, Hanafiah Nasir yang bersedia kembali berkhidmat bersama KOM, sekiranya diberikan peluang.

"Kalau dikatakan saya masih layak untuk berada dalam skuad olahraga negara dan tawaran yang diberikan adalah bersesuaian, maka saya akan mempertimbangkannya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain