suria

Yunus Alif Belum Pasti Masa Depan Bersama T-Team

KUALA TERENGGANU: Jurulatih berpengalaman Yunus Alif belum pasti masa depannya bersama pasukan kelab T-Team selepas kerajaan negeri belum mencapai kata putus sama ada kelab itu akan dibubarkan atau kekal dalam saingan Liga Malaysia tahun depan.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 54 tahun itu berkata, beliau belum ada cadangan untuk melatih mana-mana pasukan jika khidmatnya tidak diperlukan oleh pasukan Terengganu itu.

"Sayang kalau T-Team tidak ada lagi pada masa depan kerana ia merupakan antara 12 pasukan terbaik dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Status T-Team untuk beraksi pada musim depan masih tergantung selepas prestasi pasukan itu merosot dan gagal melangkah ke saingan suku akhir Piala Malaysia selepas hanya menang satu perlawanan pada peringkat kumpulan.

"Biarlah saya berehat dulu untuk menenangkan fikiran dan menghilangkan penat. Lebih penting lagi saya ingin bermuhasabah diri setelah bekerja keras melatih pasukan.

"Namun jika ada mana-mana pasukan memerlukan khidmat saya tahun depan saya bersedia menimbangkannya," katanya.

Yunus, yang mula mengendalikan pasukan itu sejak tahun lepas, berkata beliau akan terus melatih pemain T-Team sehingga kontrak mereka tamat pada November ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain