suria

Dua Pelumba Elit Tebus Kekecewaan di Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR: Dua pelumba elit lebuhraya negara Amir Mustafa Rusli dan Muhammad Adiq Hussainie Othman akan mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Berbasikal Lebuh Raya Sedunia di Limburg, Belanda bermula esok sehingga 23 Oktober ini.

Amir Mustafa akan berganding pelumba pasukan benua OCBC Bank Singapore, Loh Sea Keong pada kejohanan tersebut dalam misi memulihkan semua imej pasukan kebangsaan yang tercalar ekoran persembahan hambar di Sukan Olimpik London, bulan lepas.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Abu Samah Abd Wahab berkata Muhammad Adiq Hussainie yang mewakili pasukan benua iaitu Champion System dari Hong Kong pula bakal menjadi tonggak utama dalam acara lepas beramai-ramai lelaki bawah 23 tahun.

Tujuh lagi pelumba yang bakal memperkuatkan cabaran skuad lebuh raya bawah 23 tahun kebangsaan pada kejohanan tersebut adalah Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zambri, Nik Mohd Azwan Zulkifle, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri, Hamdan Hamidun, Muhammad Faiz Izzuddin Omar, Muhammad Azrul Taufiq Anuar dan Ahmad Firdaus Abdul Karim.

"Muhammad Faiz Izzuddin dan Ahmad Firdaus juga akan menyertai acara ujian masa individu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Samah turut mengharapkan persembahan bertenaga daripada Amir Mustafa dan dan Muhammad Adiq Hussainie selepas dua pelumba tersebut gagal menamatkan perlumbaan sejauh 250 kilometer pada hari pembukaan di Sukan Olimpik London.

"Kita ambil satu keputusan yang sangat besar dengan hantar pasukan ke Kejohanan Lebuh Raya Sedunia. Ramai yang bertanya adakah kita patut hantar pasukan ke Limburg selepas gagal tamatkan perlumbaan di Sukan Olimpik?, katanya.

"Bagaimanapun, saya percaya Amir Mustafa dan dan Muhammad Adiq Hussainie mempunyai sejuta alasan untuk tebus kehampaan Sukan Olimpik dengan mempamerkan kayuhan cemerlang di Limburg," katanya.

Abu Samah berkata badan induk berbasikal negara itu hanya meletakkan sasaran kepada pelumba negara untuk sekadar menamatkan perlumbaan dan bukannya memenangi pingat pada kejohanan tersebut.

"Saya berharap janganlah berulang insiden gagal tamatkan perlumbaan sebagaimana yang berlaku di London," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulfahmi Positif Di San Marino

Artikel Berikut

Artikel Lain