suria

Tiga Dipercayai Penyokong Kelab Bola Sepak Mati Di Luar Stadium

JAKARTA: Tiga orang dipercayai penyokong kelab bola sepak mati dalam satu pergaduhan di luar Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini Ahad malam ketika perlawanan Liga Super Indonesia (LSI) berlangsung antara pasukan Persija Jakarta dan Persib Bandung.

Jurucakap Polis Kontinjen Jakarta berkata pada Isnin, seorang daripada mangsa itu lelaki berusia 29 tahun, yang ditemui mati di kawasan tempat letak kereta timur Senayan, dekat kolam renang pada kira-kira pukul 5.15 petang.

Dua lagi yang terkorban berusia dalam lingkungan 30-an dan ditemui dekat gelanggang bola keranjang Senayan pada kira-kira pukul 8.45 malam bersama seorang lelaki lain yang mengalami kecederaan.

Beberapa mangsa lain yang turut cedera dalam perkelahian itu, termasuk seorang wartawan, kini dirawat di Hospital TNI Angkatan Laut Mintohardjo, Jakarta.

Polis sedang menyiasat motif kejadian itu termasuk kemungkinan pergaduhan berlaku antara penyokong kelab bola sepak atau pergaduhan antara masyarakat biasa. Dalam pertandingan malam Ahad, Persija dan Persib seri 2-2. - BERNAMA

Artikel Lain