suria

Beng Hee Sahkan Penyertaan Terbuka Australia

MELBOURNE: Pemain skuasy kebangsaan Ong Beng Hee adalah antara yang telah mengesahkan penyertaan ke Terbuka Australia dari 13 hingga 19 Ogos ini, yang akan menyaksikan maestro skuasy Mesir, Ramy Ashour mempertahankan kejuaraannya.

Beng Hee pernah mara ke separuh akhir kejohanan itu.

Dalam pada itu, kehadiran Ashour yang berada di rangking keempat dunia, disifatkan Pengarah penganjur kejohanan Gary Hampson sebagai berita baik kepada peminat sukan Australia.

"Beliau boleh melakukan perkara di gelanggang skuasy yang perlu disaksi sendiri untuk dipercayai dan gaya permainannya sering membuatkan peminat serta pemain lawan tergamam," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Isnin.

Anak muda berusia 24 tahun itu merupakan pemain Mesir pertama menjuarai Terbuka Australia selepas menundukkan pemain nombor satu dunia Nick Matthew dalam perlawanan lima set yang mendebarkan tahun lepas.

Turut mengesahkan penyertaan pada kejohanan yang akan berlangsung di Canberra itu ialah pemain di rangking ketujuh dunia Peter Barker dari Britain dan rakan senegaranya Tom Richards (ke-16 dunia).

Bagi kategori wanita, juara 2009 Joelle King dari New Zealand mengesahkan penyertaan bersama naib juara 2010 Alison Waters. Turut serta pemain skuasy glamor dari India, Diplika Pallikal (ke-14 dunia).-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain