suria

Unit Hospitaliti Pasukan Lotus F1 Terbakar

SEPANG: Unit hospitaliti pasukan Lotus F1 di Litar Sepang terbakar pada pukul 3.40 pagi Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata menurut laporan daripada pihak bomba, kebakaran berlaku disebabkan oleh peti sejuk yang digunakan oleh pasukan itu diletakkan terlalu rapat dengan dinding yang diperbuat daripada bahan gipsum.

"Mereka (bomba) berkata peti sejuk yang diletakkan terlalu rapat dengan dinding jenis gipsum, bila lama terletak di situ, ia akan terbakar.

"Saya menerima panggilan daripada ketua unit keselamatan yang memaklumkan kejadian tersebut, terdahulu pasukan keselamatan Mercedes dan Lotus telah memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api dan bomba datang selepas itu buat tugas mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Razali berkata kebakaran itu turut memusnahkan topi keledar gantian milik pelumba pasukan itu, Kimi Raikonnen.

Menurut beliau pasukan Lotus F1 kini telah dipindahkan sementara di sebuah lagi unit hospitaliti di litar tersebut dan mereka akan beroperasi semula selewat-lewatnya petang ini ataupun pagi esok (Ahad).

"...yang musnah peralatan SIC seperti kerusi dan meja, kebanyakan peralatan dapur pasukan Lotus selamat dan boleh digunakan lagi. Kos kerugian tidaklah banyak, bagi saya topi keledar gantian Kimi Raikonnen yang terbakar itu yang paling mahal," kata Ahmad Razlan.

Beliau berkata sebagai penganjur perlumbaan sukan permotoran terbesar, SIC sentiasa membuat penambahbaikan fasiliti yang terdapat di litar tersebut bagi memastikan dua perlumbaan terbesar iaitu Formula Satu dan MotoGP berjalan lancar.

"Tahun ini kita menawarkan fasiliti terkini di litar namun seluruh projek naik taraf itu akan hanya selesai menjelang 2015, berikutan kami masih mempunyai kontrak untuk menjadi hos Formula One sehingga tahun itu.

"Inilah yang terbaik yang kami dapat lakukan pada ketika ini daripada segi bajet, kos dan apa yang kami dibenarkan untuk mengenakan caj pada pasukan Formula One dan mereka (pasukan) juga bersetuju dengan reka bentuk unit hospitaliti dua tingkat yang dilengkapi dapur dan lainnya dan pasukan gembira dengan kemudahan ini," katanya.

Sementara itu, pasukan Lotus F1 dalam kenyataan berkata tiada siapa yang cedera dalam kejadian itu bagaimanapun peralatan memasak, makanan dan minuman serta bahan-bahan media dan pemasaran musnah dalam kebakaran itu.

"Topi keledar gantian Kimi Raikonnen musnah dalam kebakaran itu, peralatan lain pemandu berjaya diselamatkan walaupun diselaputi jelaga.

"Unit hospitaliti pasukan Lotus F1 yang baru kini terletak di hujung paddock, bersebelahan dengan rumah pasukan Marussia," katanya.

Pejabat media Pasukan Lotus F1 kini beroperasi sementara di Pusat Media Utama SIC.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain