suria

Contohi Pasukan Perak Serap Pemain Piala Presiden

IPOH: Semua pasukan Liga Super diminta mencontohi pasukan Perak yang akan menyerapkan pemain Piala Presiden untuk memperkemaskan keseluruhan pasukan, kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Beliau berkata langkah itu perlu kerana pasukan tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan pemain import dan harus mencari jalan penyelesaian bagi memantapkan pasukan.

"Dengan cara ini, pemain muda daripada sukan Piala Presiden yang berkualiti boleh diketengahkan bukan sahaja memperkuatkan pasukan tetapi juga untuk mempertajamkan permainan mereka," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin bahawa Perak akan menyerap pemain serangan Piala Presiden ke pasukan Liga Super Perak bagi memperkemaskan barisan hadapan. FAM telah membuat perubahan sebelum ini dengan meletakkan syarat seorang pemain Piala Presiden hendaklah berada di dalam skuad Liga Super bagi menggilap kecemerlangan mereka, katanya.

Raja Ahmad Zainuddin menyifatkan keputusan PAFA itu baik dan tepat pada waktunya. Negara masih memerlukan pemain import dan pada masa yang sama perlu mencari bakat baru yang cemerlang untuk menggalas cabaran ke peringkat yang lebih tinggi, katanya.

Katanya setiap pasukan disaran mencari pemain import yang muda kerana mereka bermain lebih agresif dan bayaran gaji mereka tidak semahal pemain yang telah mempunyai nama di dalam sukan ini. -BERNAMA

Artikel Lain