suria

Indonesia Mungkin Guna Kapal Tentera Sebagai Hotel Terapung

KUALA LUMPUR: Kekurangan bilik penginapan di perkampungan atlet dan bilik hotel di Palembang mungkin memaksa Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA (Inasoc) untuk menggunakan kapal tentera Republik itu sebagai hotel terapung.

Akhbar online Jakarta Globe memetik ketua pengarah Inasoc Rachmat Gobel sebagai berkata "Gabenor Sumatra Selatan Alex Nordin berkata mereka akan cuba mendapatkan dua kapal dari Angkatan Tentera, dan Inasoc akan cuba menyewa sebuah kapal persiaran, untuk digunakan sebagai hotel terapung.

Sehingga kini, 15,900 atlet dan pegawai dari 11 negara telah mendaftar untuk sukan itu dan separuh daripada mereka akan berada di Palembang.

Bagaimanapun perkampungan atlet di Bandar Sukan Jakabaring Palembang hanya boleh menampung kira-kira 2,000 peserta dan terdapat kira-kira 4,500 bilik hotel di bandar itu.

Ini menjadikan Inasoc kekurangan 1,500 katil dan jumlah itu termasuk pelawat, peminat dan wartawan yang akan berkampung di Palembang.

Rachmat bagaimanapun yakin masalah itu akan diselesaikan walaupun langkah menyewa kapal persiaran mungkin mahal.

Pihak tentera Indonesia pula membayangkan ia boleh meminjamkan dua kapal kepada Inasoc untuk menyelesaikan masalah penginapan.

"Kami belum memutuskan sama ada menerima atau menolak permintaan Inasoc untuk menggunakan beberapa kapal kami sebagai hotel terapung untuk penginapan peserta Sukan SEA," kata jurucakap tentera Indonesia Laksamana Muda Iskandar Sitompul.

"Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman lepas, jika ia kepentingan nasional, pihak tentera tidak pernah menolak sebarang permintaan. Saya rasa Sukan SEA adalah kepentingan nasional," katanya.

Indonesia akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-26 di dua venue utama, Jakarta dan Palembang dari 11 hingga 22 Nov. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Fujiwara Juara Supersports 600c

Artikel Lain