suria

Peteh Sumbang RM1,000 Seorang Kepada Pemain Piala FA

KUALA TERENGGANU: Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) pada Sabtu menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 setiap seorang kepada skuad Terengganu yang berjaya merangkul Piala FA musim ini.

Setiausahanya Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata seramai 23 pemain menerima sumbangan tersebut dan kelab penyokong itu merupakan pertama di negara ini memberi insentif seperti itu.

"Ini sebagai satu penghargaan serta menunaikan janji kelab kepada pemain sekiranya Terengganu juara kejohanan itu," katanya, sambil menjelaskan sumbangan insentif itu mungkin diberikan sekiranya Terengganu muncul juara Piala Malaysia musim ini.

Terengganu mengalahkan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir Piala FA tahun ini.

Dalam pada itu, Wan Mohd Azmi meminta penyokong Terengganu dan Kelantan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi semasa menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara kedua pasukan itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, Isnin ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zhuhai Penentu Peluang Pelumba

Artikel Berikut

Artikel Lain