suria

Malaysia Harap Peluang Kutipan Pingat Terakhir, Isnin

SHENZHEN: Atlet negara gagal beraksi cemerlang pada hari ke-10 temasya Sukan Universiti Dunia 2011 (Universiade) di sini apabila gagal meraih sebarang pingat pada Ahad.

Dalam kedudukan pungutan pingat, Malaysia turun lima anak tangga untuk menghuni tempat ke-46 selepas pulang dengan tangan kosong.

Malaysia terlepas peluang untuk menambah sebutir lagi pingat apabila penerjun negara, Bryan Nickson Lomas hanya menduduki tempat keenam daripada 12 penerjun dalam acara 10m platform.

Malaysia masih kekal dengan kutipan satu perak dan satu gangsa.

Kontinjen negara masih mengharapkan peluang untuk menambah sebutir lagi pingat menerusi Nur Ayuni Farhana Abdul Halim yang akan beraksi dalam acara 50M Rifle 3 posisi, Isnin.

Pasukan tuan rumah, China terus mengungguli carta pungutan pingat dengan 58 butir emas, 32 perak dan 28 gangsa diikuti Russia dengan 33 emas, 33 perak dan 37 pingat gangsa.

Jepun juga kekal di kedudukan tempat ketiga dengan mengutip 22 pingat emas, 24 perak dan 35 gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain