suria

BAM, Jangan Biarkan Luka Lama Berdarah Kembali

KEMAMAN: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu membuktikan ia badan yang masih relevan dalam memastikan kecemerlangan sukan badminton negara berterusan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jika lebih ramai pemain yang membuat keputusan untuk keluar dari BAM seperti yang diambil pasangan bekas beregu nombor dua negara, ia mungkin membayangkan badan itu sudah tidak lagi relevan.

Katanya, beliau terkejut apabila membaca laporan mengenai bekas beregu negara keluar daripada naungan badan induk itu kerana sekali lagi kewibawaan BAM tercalar apabila tidak dapat mengekalkan pemain-pemain di bawahnya.

"BAM adalah badan yag diberi mandat untuk membangunkan pemain, jadi sekiranya mereka (pemain) putuskan keluar BAM, kita bimbang beberapa perkara yang dikait dengan luka lama berdarah kembali, seperti yang berlaku pada Muhammad Hafiz Hashim dan Misbun (Datuk Misbun Sidek) satu masa lalu yang akhirnya merugikan semua pihak," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Ahmad Shabery sebelum itu menyampaikan Bantuan Dana Hari Raya kepada penduduk kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Puteh, di sini.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata beliau meminta kerjasama pihak Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengkaji secara terperinci perkembangan terbaru melibatkan BAM itu.

"Kita mahu lihat kesan baik buruknya kepada badminton negara, sama ada ini kes terpencil atau ia perkembangan yang boleh menular sekiranya lebih banyak pemain memilih untuk tidak lagi bersama BAM pada masa akan datang," katanya.

Semalam, Presiden BAM Datuk Seri Nadzmi Salleh memberitahu media, pasangan Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari telah mengemukakan permohonan untuk keluar daripada naungan badan induk itu pada 17 Ogos lepas.

Menurut Nadzmi, kesemua ahli jawatankuasa BAM pada Sabtu telah bersetuju untuk melepaskan kedua-duanya tanpa syarat mahupun penalti.

Katanya, pasangan itu memutuskan untuk bergerak sendiri kerana merasakan sudah sampai masanya untuk memberi peluang kepada pemain baru, selain faktor umur mereka yang semakin meningkat.

Mohd Zakry, 29, dan Mohd Fairuzizuan, 28, merupakan bekas beregu negara sebelum jurulatih beregu Rexy Mainaky memutuskan untuk menggandingkan mereka masing-masing dengan Hoon Thien How dan Ong Soon Hock.

Berikutan tindakan beregu itu, peluang untuk mereka memburu tempat pada Sukan Olimpik 2012 di London mungkin terjejas.

Artikel Berikut

Artikel Lain