suria

Universiade: Skuad Bola Sepak Negara Gagal Baiki Kedudukan

SHENZHEN: Malaysia mengekalkan kedudukan tempat ke-12 dalam acara bola sepak Sukan UNiversiti Dunia 2011 (Universiade) apabila kalah0-5 kepada Republik Czech pada perlawanan penentuan tempat di sini, Isnin.

Skuad bimbingan Aminuddin Hussin itu tidak terdaya untuk memperbaiki ranking pada edisi lepas di Bangkok, Thailand, seperti disasarkan sebelum ini selepas kalah kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Pada perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga ke-16, Malaysia hanya menang tipis 5-4 ke atas Thailand menerusi sepakan penalti sebelum kalah 1-5 di tangan Kanada pada penentuan tempat kesembilan hingga 12.

Sebelum ini, pada peringkat kumpulan, Malaysia kalah 1-2 kepada juara bertahan Ukraine, 1-2 kepada Brazil dan 0-2 kepada Russia.

Pada perlawanan di Stadium Pusat Sukan Bao'an Xixiang Shenzhen di sini, Malaysia gagal menandingi kepantasan dan pergerakan pemain Republik Czech.

Malaysia ketinggalan 0-2 pada babak pertama menerusi jaringan Michal Rendla pada minit ke-20 dan Jiri Schubert pada minit ke-42.

Pemain gantian Zdenek Volek menjadi wira pasukan Republik Czech pada babak kedua apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-48 dan pada masa kecederaan.

Satu lagi jaringan dilakukan oleh Michal Blazej pada minit ke-82.-BERNAMA

Artikel Lain