suria

Sukma:Johor Rampas Kembali Mahkota Juara Acara Lawan Pedang

KUALA LUMPUR: Kontinjen Johor merampas kembali gelaran juara keseluruhan acara lawan pedang selepas menambah dua lagi pingat emas pada hari terakhir acara itu di temasya Sukan Malaysia ke-14 di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, Selasa.

Kontinjen ini berjaya meraih dua daripada tiga pingat emas yang ditawarkan Selasa menerusi acara berpasukan wanita Epee dan Sabre.

Johor mengumpul tujuh pingat emas, dua perak dan dua gangsa untuk merampas kedudukan juara bertahan dengan Selangor di tempat ketiga di belakang Wilayah Persekutuan.

Trio 'Harimau Selatan' yang dibarisi Yaminah Yasin, Nur Aina Jalil dan Nadzirah Mohd Adzeman menewaskan pasukan Wilayah Persekutuan dengan mata 45-31 dalam acara Epee berpasukan wanita.

Manakala pingat gangsa bagi acara tersebut dikongsi bersama oleh pasukan Sabah dan Negeri Sembilan.

Kapten pasukan, Yaminah berkata beliau dan rakan-rakan gembira dan terharu dengan kejayaan tersebut kerana dapat mengembalikan mahkota gelaran juara keseluruhan bagi acara tersebut selepas gagal mempertahankannya pada Sukan Malaysia ke-13 di Melaka tahun lepas.

"Kami telah berlatih selama enam bulan tanpa jurulatih bersama rakan-rakan dan bantuan guru di Sekolah Sukan Bandar Penawar. Usaha kami tidak sia-sia dengan kejayaan hari ini," katanya kepada Bernama.

Katanya kejayaan itu adalah hasil usaha seluruh skuad lawan pedang Johor dan berharap dapat mempertahankan pada Sukan Malaysia ke-16 edisi 2013 nanti.

Pingat emas ketujuh Johor diperolehi menerusi Falizah Syabila Jamaluddin, Natasha Ezzra Abu Bakar dan Siti Khadijah Md Noh dalam acara Sabre berpasukan yang turut menewaskan pasukan Wilayah Persekutuan 45-31.

Sementara itu pingat emas bagi acara Foil lelaki berpasukan menjadi milik Sabah apabila trionya Teo Zhe Bin, Lendl S Malibin dan Ledi Boyd S Malibin berjaya menewaskan skuad Wilayah Persekutuan 45-32.

Pingat gangsa bagi acara tersebut dikongsi bersama skuad lawan pedang Johor dan Selangor.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain