KUALA LUMPUR: Senarai akhir atlet yang akan mewakili negara pada Sukan Sea ke-26 di Indonesia dari 11 hingga 25 Nov ini, akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan khas pada Julai nanti.
Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata
semua persatuan sukan kebangsaan terlibat diarah supaya menyediakan senarai
atlet mereka yang layak bertanding.
"Ada dua bulan lagi untuk persatuan menyediakan senarai tersebut, jadi buat
masa ini MOM belum putuskan apa-apa mengenai penyertaan atlet," katanya, Selasa.
Sieh berkata demikian selepas menghadiri majlis sumbangan tajaan syarikat
pengeluar produk perubatan dan kesihatan Global Jianyou Technology Co Ltd
kepada MOM di Wisma MOM.
Syarikat dari Beijing itu menaja 40 unit pengurut nadi elektronik yang sesuai digunakan untuk merawat kecederaan otot dan mempercepatkan proses penyembuhan.
Antara persatuan sukan yang menerima sumbangan itu ialah Kesatuan
Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Persatuan Renang Amatur Malaysia, Persatuan
Bola Keranjang Malaysia, Persekutuan Gimnastik Malaysia dan Persekutuan Wushu
Malaysia.-BERNAMA