suria

Sukma Ke-14 Kekal 19 Jenis Sukan

PUTRAJAYA: Jumlah sukan yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-14 di Kuala Lumpur dari 5 hingga 12 Jun ini kekal dengan 19 jenis sukan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata jumlah itu kekal selepas ahli gabungan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) bersetuju untuk acara itu diadakan di Kuala Lumpur tahun ini.

"Persatuan Bola Keranjang Malaysia sudah membuat keputusan mahu acara sukan itu kekal dijalankan di Kuala Lumpur. Sebelum ini, ada isu yang persatuan itu mahu bawa sukan bola kerajang ke Sukma Pahang tahun depan.

"Jika acara itu mahu disenaraikan dalam Sukma Pahang, ia akan digugurkan di sini (Kuala Lumpur)," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan lagu tema dan maskot Sukan Malaysia ke-14 di Dewan Serbaguna KBS di sini Rabu.

Selain acara bola keranjang, temasya Sukma kali ini akan melibatkan acara akuatik (polo air dan renang berirama), berbasikal (trek), bina badan, bola baling, bola jaring, futsal, bola tampar pantai, judo, kabaddi, kanu, kriket, lawan pedang, mendayung, ping pong, ragbi, silambam, sofbol dan tenis.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata acara futsal menjadi acara utama (blue ribbon) pada temasya kali ini kerana ia melibatkan penyertaan dari kesemua 14 buah negeri.

Manakala acara berbasikal trek, yang diletakkan sebagai acara sukan wajib Sukma, terpaksa diadakan di Kuala Lumpur memandangkan Pahang tidak mempunyai kemudahan velodrom di negeri itu. Ahmad Shabery berkata sehingga tarikh tutup penyertaan pada 30 April lepas, seramai 3,327 orang atlet dan 1,238 orang pegawai akan terlibat pada temasya kali ini.

Terdahulu pada majlis pelancaran maskot dan lagu tema Sukma ke-14, Ahmad Shabery turut menerima sumbangan penajaan daripada beberapa syarikat swasta.

Antaranya ialah Genting Berhad selaku penaja platinum dengan sumbangan berjumlah RM300,000, manakala Amanah Raya Berhad pula selaku penaja gangsa dengan tajaan wang tunai berjumlah RM30,000.

Pada Mei tahun lepas, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan (JKPS) telah meluluskan penganjuran Sukma setiap tahun bermula tahun ini, dengan MSN menganjurkannya pada tahun ganjil manakala negeri-negeri akan menjadi tuan rumah pada tahun genap.

Temasya yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) akan mempertandingkan acara sukan pilihan sahaja, sebaliknya negeri-negeri akan mempertandingkan 24 acara, yang merangkumi 19 acara sukan wajib dan lima acara pilihan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain