suria

Misbun Diberi Cabaran Baru Lahirkan Juara Badminton Sukan Asia 2014, Sukan Olimpik 2016

PETALING JAYA: Datuk Misbun Sidek diberi cabaran baru oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk melahirkan jaguh dunia badminton pada Sukan Asia 2014 dan Sukan Olimpik 2016.

Setiausaha Agung BAM, Ng Chin Chai yang mempengerusikan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM hampir tiga jam di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Sabtu berkata, keputusan tersebut dicapai selepas mengambil kira pandangan barisan jurulatih kebangsaan, Datuk Lee Chong Wei dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurutnya, Misbun bakal membimbing sekumpulan pemain pelapis yang belum dikenal pasti manakala Chong Wei pula terus dibimbing Tey Seu Bock dan Rashid Sidek sehingga tamat Sukan Olimpik London 2012.

"Kami sudah beritahu Misbun tentang skop tugasnya nanti dan beliau menerima dengan baik. Pemilihan pemain yang akan dibimbingnya bakal dibuat secara bersama.

"Kami juga telah berbincang dengan jurulatih lain termasuk Hendrawan tentang kemungkinan menyerahkan pemain mereka dan semua menerimanya dengan baik kerana ia adalah demi kepentingan negara," katanya.

Ng berkata, pemilihan pemain adalah bergantung kepada kesesuaian corak permainan dan lain-lain kriteria.

Sementara itu, BAM menyerahkan surat tawaran kepada ratu badminton negara, Wong Mew Choo untuk menjadi jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Artikel Lain